Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Kegiatan memproses dan menjual air ketum yang dipercayai dijalankan hampir lima tahun terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga lelaki tempatan dalam Op Taring Wawasan Kelantan di sebuah pondok di kawasan ladang getah Kampung Bendang Kerian, di sini.
Dalam kenyataan menerusi laman rasmi, Cawangan Risik Batalion 9 PGA Kuala Terengganu memaklumkan serbuan kira-kira jam 7.30 petang pada 11 Julai lalu dilakukan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan berkenaan.
“Sebaik diserbu, ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri ke kawasan semak, namun berjaya diberkas anggota PGA.
“Pemeriksaan di lokasi menemukan sebuah pondok yang dipercayai dijadikan tempat memproses air ketum,”menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum, termasuk dapur gas, tong gas, periuk, tong ais, penimbang, tiga kilogram daun ketum serta 138 bungkus air ketum dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM6,460.
“Kes dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Hasil soal siasat awal mendapati ketiga-tiga suspek mengaku memproses dan menjual air ketum yang dimasak sendiri di pondok berkenaan pada harga RM10 sebungkus, dengan kemampuan menghasilkan kira-kira 100 bungkus sehari bagi pasaran tempatan.
“Mereka turut mengaku mendapatkan bekalan daun ketum daripada seorang lelaki tempatan di Kampung Jubakar, Tumpat pada harga RM25 sekilogram mengikut keperluan,”menurut kenyataan itu.
Jelasnya lagi siasatan awal juga mendapati kegiatan itu dipercayai dijalankan hampir lima tahun dengan lokasi operasi yang sentiasa berubah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
PGA memaklumkan akan terus mempergiatkan risikan dan pemantauan bagi membanteras kegiatan pemprosesan serta penjualan air ketum di kawasan tanggungjawab.
IMedikel TV






