Home Buletin Semasa OPERASI MEGA JIM: 503 WARGA ASING DITAHAN DI 16 LOKASI SELURUH NEGARA

OPERASI MEGA JIM: 503 WARGA ASING DITAHAN DI 16 LOKASI SELURUH NEGARA

35
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 503 warganegara asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam Operasi Mega yang dijalankan secara serentak di 16 lokasi di seluruh negara selama dua hari bermula Ahad lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 11.30 pagi itu menyasarkan beberapa premis perniagaan yang dipercayai menggaji atau dikendalikan oleh warga asing. 

“Tindakan ini bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta mengesan sebarang bentuk pelanggaran peraturan.

“Dalam operasi itu, seramai 2,260 individu diperiksa, manakala 503 warganegara asing ditahan membabitkan warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia, Nepal, India dan beberapa negara lain,”katanya menerusi laman rasmi.

Beliau berkata semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 52 tahun, terdiri daripada 408 lelaki dan 95 wanita, sebelum ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen di seluruh negara bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, menggunakan kad yang tidak diiktiraf serta lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Selain itu, sebanyak 120 saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan,”katanya.

Zakaria berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Beliau turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang, selain menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada JIM bagi membantu usaha penguatkuasaan.

Katanya operasi berkenaan membabitkan seramai 876 pegawai pelbagai pangkat dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here