Home Buletin Semasa PKPP CHERATING DIBUKA SEMULA, TAWAR PENGALAMAN DEKATI DUNIA PENYU

PKPP CHERATING DIBUKA SEMULA, TAWAR PENGALAMAN DEKATI DUNIA PENYU

24
0

Oleh Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating kini dibuka semula kepada orang ramai selepas kerja-kerja menaik taraf kemudahan di pusat berkenaan selesai dilaksanakan.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hasan berkata, PKPP Cherating yang ditutup sementara sejak Oktober 2023 bagi memberi laluan kepada kerja penambahbaikan kini kembali beroperasi sepenuhnya untuk lawatan pengunjung.

“Pusat konservasi itu sebelum ini menjadi antara tarikan utama pelancong tempatan dan luar negara yang ingin melihat penyu dengan lebih dekat serta mendapatkan maklumat mengenai hidupan marin.

“Antara tarikan yang terdapat di PKPP Cherating termasuk pameran hidupan laut, muzium yang menempatkan replika pelbagai spesies marin serta batu karang, selain tayangan video berkaitan konservasi penyu dan hidupan laut,”katanya di sini hari ini.

Katanya, pihak jabatan turut menyediakan kawasan perkhemahan yang sesuai digunakan bagi program pendidikan dan aktiviti berkumpulan, khususnya membabitkan pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi.

“Saya bagi pihak jabatan mempersilakan orang ramai dan pelancong untuk datang ke PKPP Cherating bagi melihat pameran hidupan marin, menonton tayangan video serta memberi makan kepada penyu dewasa yang terdapat di pusat ini.

“PKPP Cherating kini beroperasi seperti biasa dan dibuka kepada pengunjung dari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 10 pagi hingga 4 petang,” katanya.

Roslan berkata, pengunjung juga berpeluang melihat kawasan penetasan telur penyu yang dikumpulkan oleh pihak pengurusan dan, jika bernasib baik, dapat menyaksikan serta menyertai aktiviti pelepasan anak penyu ke laut.

Menurutnya, PKPP Cherating terus menjadi antara produk pelancongan penting di Pahang, khususnya di daerah Kuantan, dan sering menjadi destinasi pilihan pelancong yang berkunjung bersama keluarga.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here