Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menegaskan dakwaan yang tular di media sosial berhubung sebuah premis di Jalan Langgar adalah tidak benar selepas pemeriksaan bersepadu dijalankan pada 9 Julai lalu.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Ghafar Yahya berkata, pemeriksaan dilaksanakan oleh Bahagian Kawalan Penyakit, Promosi Kesihatan dan Inspektorat Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar, Bahagian Pelesenan MBAS serta Bahagian Penguatkuasaan MBAS.
“Hasil pemeriksaan mendapati pekerja yang berada di dalam premis termasuk di kaunter hadapan adalah warganegara Malaysia.
“PKD Kota Setar juga tidak mengambil sebarang tindakan terhadap premis berkenaan kerana tiada pelanggaran atau kesalahan dikesan di bawah bidang kuasanya,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, semakan lanjut mendapati premis itu memiliki lesen perniagaan yang sah yang dikeluarkan oleh MBAS.
Bagaimanapun, Abdul Ghafar berkata, MBAS mengesan satu kesalahan apabila pemilik premis meletakkan barang niaga di hadapan premis tanpa permit.
“Kesalahan itu membabitkan pelanggaran Perenggan 25(2) Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPKS) 1989 kerana meletakkan barang niaga di siar kaki tanpa permit,”katanya.
Beliau menegaskan MBAS komited melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan secara adil serta berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi.
IMedikel TV






