Home Buletin Semasa MBAS, PKD KOTA SETAR SERBU ENAM PREMIS WARGA ASING, PRODUK MAKANAN RM22,000...

MBAS, PKD KOTA SETAR SERBU ENAM PREMIS WARGA ASING, PRODUK MAKANAN RM22,000 DISITA

29
0

Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar melaksanakan Operasi Bersepadu Warga Asing selama dua hari pada 9 dan 10 Julai lalu bagi memeriksa premis perniagaan milik warga asing di sekitar daerah Kota Setar dan Pokok Sena.

Menerusi kenyataan di laman rasmi MBAS, operasi yang diselaraskan Bahagian Kawalan Penyakit, Promosi Kesihatan dan Inspektorat Kesihatan Persekitaran, Bahagian Pelesenan serta Bahagian Penguatkuasaan itu melibatkan pemeriksaan terhadap enam premis perniagaan.

“Premis yang diperiksa terdiri daripada dua kedai runcit di Pokok Sena, masing-masing sebuah premis di Teluk Wanjah dan Kampung Berjaya, selain dua premis di sekitar pusat bandar Alor Setar.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa premis melakukan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang kecil serta peruntukan berkaitan yang dikuatkuasakan MBAS,”menurut kenyataan itu.

Susulan itu, kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen MBAS mengikut Peraturan 3(1), selain notis mengarahkan premis terbabit menghentikan operasi perniagaan serta-merta.

MBAS turut mengeluarkan kompaun di bawah Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) terhadap premis yang gagal mematuhi notis atau ingkar arahan yang telah dikeluarkan sebelum ini.

“Selain itu, tindakan kompaun turut dikenakan di bawah Perenggan 25(1) Undang-Undang Kecil Establisymen terhadap premis yang gagal menyelenggara kebersihan di dalam premis, manakala tindakan di bawah Perenggan 25(2) diambil terhadap premis yang tidak memastikan kebersihan kawasan di hadapan premis.

“Dalam operasi sama, PKD Kota Setar turut menyita pelbagai produk makanan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM22,000,”jelas kenyataan itu.

Menurut MBAS, operasi bersepadu itu adalah usaha berterusan bersama agensi penguat kuasa bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi syarat pelesenan, standard kebersihan serta peraturan yang berkuat kuasa, sekali gus melindungi kepentingan pengguna dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teratur serta selamat.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here