CYBERJAYA: Malaysia terus memperkukuh agenda transformasi digital apabila Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta IBM Malaysia Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama strategik dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kuantum negara.
MoU yang dimeterai pada Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Kebangsaan 2026 itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerjasama berkenaan bertujuan menyokong aspirasi Malaysia membangunkan keupayaan AI berdaulat (Sovereign AI) dan teknologi kuantum yang selamat, berdaya tahan serta selaras dengan kepentingan negara.
Menurut kenyataan MCMC, kerjasama itu turut mencerminkan komitmen bersama dalam meneroka penubuhan National Quantum and Artificial Intelligence Centre of Excellence (NQAIC) sebagai platform nasional untuk mempercepat inovasi dan memperkukuh keupayaan negara.
“Kerjasama yang dicadangkan ini menyokong aspirasi jangka panjang Malaysia untuk membangunkan keupayaan kecerdasan buatan dan teknologi kuantum yang dipercayai, selamat, berdaya tahan serta selaras dengan kepentingan negara.
“Ia turut memperkukuh komitmen negara dalam membangunkan ekosistem digital masa hadapan yang menggalakkan inovasi, memupuk bakat tempatan, memperkukuh penyelidikan dan menyokong pertumbuhan ekonomi mampan,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan kerjasama berkenaan akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pembangunan ekosistem, tadbir urus dan keselamatan yang dipercayai serta pembangunan inovasi, keupayaan dan bakat.
Inisiatif itu juga akan menghubungkan kerajaan, institusi akademik, industri dan rakan strategik bagi memperkukuh penyelidikan, pembangunan bakat serta inovasi dalam bidang AI dan teknologi kuantum.
Menurut kenyataan itu, kerjasama strategik berkenaan menjadi asas kepada usaha Malaysia memperkukuh keupayaan teknologi masa hadapan, meningkatkan daya tahan digital serta mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju serantau dalam AI berdaulat, inovasi kuantum dan infrastruktur digital yang selamat.
IMedikel TV






