SUBANG JAYA: Pelakon, Jaa Suzuran menyifatkan golongan ibu tunggal sebagai individu yang berhak menikmati kebahagiaan seperti orang lain dan tidak sepatutnya dipandang rendah.
Memetik laporan Harian Metro, Jaa atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Ahmad, 32, berkata, beliau tidak bersetuju dengan sikap segelintir pihak yang masih memperlekehkan wanita berstatus ibu tunggal.
“Saya nak tekankan satu perkara, kalau ada orang yang pandang remeh bila dengar wanita berstatus ‘single mom’ atau janda, bagi saya mereka juga manusia.
“Jauh di sudut hati, sama ada lelaki mahupun wanita, mereka tidak layak untuk dikecewakan dan berhak untuk mendapat kebahagiaan,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran treler rasmi filem Tiket Sehala di Tomaz Pickleball Club, di sini, semalam.
Mengulas mengenai borang Persatuan Single Malaysia yang dimuat naik di Threads, Jaa berkata, ia menerima sambutan positif daripada pengguna media sosial yang mahu mencari kenalan baharu.
Katanya, walaupun pada awalnya borang itu dimuat naik sekadar gurauan, namun ramai yang menghubunginya secara serius termasuk dalam kalangan ibu tunggal.
“Kalau ada calon yang sesuai untuk menjadi suri hati saya, adalah. Saya mungkin bergurau untuk mencari janda, tetapi bila ada yang datang nak berkawan kini sudah jadi serius pula,” katanya.
Terdahulu, tindakan Jaa memuat naik borang Persatuan Single Malaysia di akaun Threads miliknya mencuri perhatian ramai.
Dalam perkembangan lain, Jaa turut membintangi filem Tiket Sehala arahan Rahila Ali terbitan Key Billions Sdn. Bhd. yang diinspirasikan daripada kisah benar mangsa penipuan pekerjaan di luar negara.
Filem itu turut dibintangi Noki K-Clique, Ainee Mustafa, Zaki Yamani dan Sharifah Sakinah, serta dijadual menemui penonton di pawagam pada 6 Ogos ini.-HMetro Online-
IMedikel TV






