Home Buletin Semasa KEDIAMAN MEWAH DIJADIKAN RUMAH TRANSIT PATI, JIM TAHAN 10 WARGA BANGLADESH

KEDIAMAN MEWAH DIJADIKAN RUMAH TRANSIT PATI, JIM TAHAN 10 WARGA BANGLADESH

25
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan menjadikan kediaman mewah sebagai rumah transit sementara bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi khas di sekitar Cap Square Centre, di sini, awal pagi Selasa.

Menerusi kenyataan di laman rasmi, operasi yang bermula jam 12.30 tengah malam pada Selasa lalu itu dilaksanakan sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil maklumat awam serta risikan selama sebulan.

“Dalam operasi berkenaan, JIM menyerbu dua premis kediaman mewah dan menahan 10 warga Bangladesh berusia antara 23 hingga 43 tahun.

“Mereka terdiri daripada dua lelaki yang dipercayai bertindak sebagai “penjaga premis”, enam lelaki dan dua wanita warga Bangladesh,”menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan hasil semakan awal mendapati seorang daripada lelaki yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan, manakala dua wanita yang ditahan telah disenarai hitam oleh JIM tetapi dipercayai masuk semula ke negara ini melalui pintu masuk yang tidak diwartakan.

“Siasatan turut mendapati individu lain yang ditahan tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah untuk berada di Malaysia.

“Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut menyita tiga naskhah pasport Bangladesh milik individu lain serta wang tunai berjumlah RM1,595 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan,”menurut kenyataan itu.

Menurut JIM, modus operandi sindiket adalah menjadikan kediaman mewah sebagai lokasi transit sementara bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Rumah transit itu digunakan untuk menempatkan warga asing yang dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak sah sebelum dihantar ke destinasi yang ditetapkan.

“Premis berkenaan dikawal oleh penjaga warga asing yang bertanggungjawab menguruskan penempatan sementara sehingga urusan pembayaran diselesaikan,”jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM700 hingga RM1,500 bagi setiap individu dan dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu.

“Kedua-dua penjaga premis warga Bangladesh itu disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing lain disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) akta yang sama.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,”menurut kenyataan.

JIM menegaskan akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran serta memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here