Home Buletin Semasa PELAJAR TINGKATAN DUA MAUT MOTOSIKAL HILANG KAWALAN, REMPUH KERETA PARKIR

PELAJAR TINGKATAN DUA MAUT MOTOSIKAL HILANG KAWALAN, REMPUH KERETA PARKIR

58
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GOMBAK: Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta yang diparkir di bahu jalan dalam kejadian di Jalan Kampung Sungai Chinchin, Batu 7, Jalan Gombak Lama, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada kira-kira jam 3.23 petang.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 2 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari rumahnya di Batu 8, Jalan Gombak Lama menghala ke Batu 7.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum melanggar sebuah kereta yang sedang diparkir di bahu jalan.

“Mangsa adalah seorang pelajar sekolah menengah di Gombak berusia 14 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan sebelum mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-675 1727 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126 2222. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here