Home Luar Negara BARANGAN KEMAS BERNILAI JUTAAN EURO DILARIKAN DALAM ROMPAKAN MUZIUM DI PERANCIS

BARANGAN KEMAS BERNILAI JUTAAN EURO DILARIKAN DALAM ROMPAKAN MUZIUM DI PERANCIS

31
0

STRASBOURG: Sekumpulan perompak melarikan barangan kemas bernilai jutaan euro dari muzium pembuat kaca mewah Perancis, Lalique, pada awal pagi Ahad.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, insiden rompakan itu berlaku hanya beberapa bulan selepas kes kecurian batu permata yang menggemparkan di Muzium Louvre di Paris, tahun lalu.

Menurut sumber yang dekat dengan siasatan, kumpulan penjenayah bertopeng itu memecah masuk ke dalam muzium yang terletak di Wingen-sur-Moder, timur laut Perancis, kira-kira jam 5.30 pagi waktu tempatan.

Mereka dilaporkan merosakkan pintu utama sebelum ke bilik pameran barangan kemas dan memecahkan enam peti kaca pameran di premis berkenaan.

“Kira-kira 20 unit barangan kemas telah dilarikan. Jumlah kerugian kini sedang dinilai, namun ia boleh mencecah beberapa juta euro, malah berkemungkinan menghampiri 4 juta euro (RM18.6 juta),” kata sumber terbabit kepada AFP. 

Bagaimanapun, satu lagi sumber memaklumkan barangan kemas yang dicuri itu diperbuat daripada kristal tanpa batu permata bernilai tinggi, sekali gus bermakna ia tidak boleh dileburkan untuk dijual semula sebagai bahan mentah. 

Pihak pengurusan muzium menerusi laman web rasminya mengumumkan bahawa premis berkenaan akan ditutup untuk tempoh beberapa hari susulan kejadian pecah rumah itu bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Sumber penyiasat menambah, sistem penggera muzium sebenarnya berbunyi ketika kejadian, namun syarikat keselamatan swasta mengambil masa yang lama untuk melengkapkan proses pemeriksaan.

Kelewatan itu menyebabkan seorang pekerja pembersihan menjadi individu pertama yang tiba di lokasi kejadian lalu bertindak menghubungi pihak polis, manakala rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kini sedang diteliti oleh pihak berkuasa.

Muzium yang didedikasikan khas untuk mempamerkan hasil kerja pereka barangan kemas dan pembuat kaca aliran Art Nouveau serta Art Deco, Rene Lalique itu, dibuka pada 2011 berhampiran kilang pembuatan syarikat berkenaan.

Premis itu menempatkan lebih 650 karya luar biasa termasuk barangan kemas Art Nouveau, kaca Art Deco, serta hasil kristal kontemporari yang bernilai tinggi.

Sementara itu, Datuk Bandar Wingen-sur-Moder, Christian Dorschner, melahirkan rasa berang terhadap insiden berkenaan dan menyelar kegagalan syarikat keselamatan terbabit dalam mengendalikan situasi kecemasan.

“Semua penggera berbunyi dan berfungsi dengan baik seperti sepatutnya. Bagaimanapun, wujud kegagalan besar di pihak syarikat keselamatan apabila mereka tidak bertindak segera dan gagal memaklumkan kejadian kepada pihak gendarmerie (polis tentera).

“Kumpulan penjenayah itu pasti mempunyai maklumat dalaman yang sangat baik untuk melakukan rompakan dengan cara sedemikian, malah mereka dipercayai adalah pakar,” katanya kepada akhbar tempatan Les Dernieres Nouvelles d’Alsace (DNA).

Muzium Lalique sebelum ini dikategorikan sebagai lokasi sensitif dan menerima kawalan keselamatan khas berikutan rompakan besar-besaran di Muzium Louvre, Paris pada Oktober tahun lalu yang melarikan barangan kemas bernilai USD102 juta (RM415 juta) dalam masa kurang lapan minit. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here