KUALA LUMPUR: Penyanyi, Liza Hanim mengakui pengalaman dihina dan dibandingkan daripada segi rupa paras ketika berusia 19 tahun meninggalkan trauma yang sukar dilupakan, biarpun insiden itu berlaku lebih dua dekad lalu.
Memetik laporan Berita Harian, Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, 47, berkata kata-kata seorang pelawak yang memperlekehkan penampilannya di hadapan artis lain ketika menghadiri sebuah acara memberi kesan mendalam terhadap keyakinan dirinya yang ketika itu masih baharu dalam industri muzik.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Siapa Sangka Siapa Menduga itu memilih untuk tidak mendedahkan identiti individu terbabit kerana tidak mahu isu berkenaan terus diperbesarkan.
Katanya, pendedahan dibuat menerusi program audio siar bersama Datuk Aznil Nawawi baru-baru ini hanyalah untuk berkongsi pengajaran daripada pengalaman yang pernah dilaluinya.
“Saya tidak berniat untuk mencari salah sesiapa atau memperbesarkan isu ini.
“Apabila saya lihat perkara ini menjadi tular sehingga membabitkan individu lain yang tiada kena-mengena, saya rasa tidak selesa untuk berkongsi lebih lanjut mengenai siapa sebenarnya individu itu.
“Apa yang saya mahu hanyalah berkongsi pengalaman supaya ia menjadi pengajaran,” katanya kepada BH Online.
Liza berkata, pengalaman itu turut menyebabkan beliau lebih peka terhadap isu buli membabitkan fizikal dan paras rupa yang masih berlaku sehingga hari ini.
Katanya, walaupun kecaman sering dianggap lumrah dalam dunia hiburan, budaya memperlekehkan tubuh badan dan wajah seseorang tidak sepatutnya diterima sebagai perkara biasa.
“Saya pernah melaluinya sendiri, jadi saya mudah tersentuh apabila melihat orang lain menjadi mangsa.
“Bagi saya, kecaman mungkin biasa dalam industri hiburan, tetapi menyentuh paras rupa dan tubuh badan orang lain adalah satu bentuk buli.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya dinormalisasikan walaupun ramai menganggap ia sekadar gurauan,” katanya.
Liza berkata, setiap individu diciptakan unik dan mempunyai kecantikan tersendiri, justeru tiada sesiapa berhak menentukan nilai seseorang hanya berdasarkan penampilan fizikal.
Beliau berharap masyarakat lebih berhati-hati dalam memilih kata-kata kerana setiap komen mampu meninggalkan kesan yang berpanjangan terhadap emosi seseorang.
“Setiap insan diciptakan Allah dengan kelebihan masing-masing.
“Kita perlu sedar setiap kata-kata yang keluar daripada mulut kita memberi kesan kepada orang lain.
“Sebab itu saya berharap budaya memperlekehkan rupa paras dapat dihentikan,” katanya.
Mengulas kekuatannya kekal bertahan lebih 20 tahun dalam industri seni, Liza berkata pengalaman pahit itu akhirnya menjadi pembakar semangat untuk terus membuktikan kemampuan melalui bakat.
Katanya, seseorang artis perlu percaya kepada rezeki dan tidak mudah berputus asa meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan seni.
“Kalau saya tidak kuat, mungkin sudah lama saya tinggalkan dunia seni.
“Saya percaya seseorang artis perlu bersandar kepada bakat dan terus berusaha. Cepat atau lambat kejayaan itu adalah ketentuan Allah,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






