Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Azeva Natassha, 25, menyifatkan kemenangannya merangkul tempat keempat dalam pertandingan realiti nyanyian yang disertai mempunyai kaitan faktor keturunan.
Memetik laporan Harian Metro, Azeva yang juga anak kedua penyanyi, Ameng Spring dan bekas isteri, Datuk A Aida berkata, bapanya mendapat tempat keempat ketika bersaing di pentas akhir Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) pada 2016.
Menurutnya, dia juga mendapat tempat keempat dalam program Talk To My Manager Musim 2 (TTMM2), baru-baru ini.
“Saya tak jadi juara dalam pertandingan itu memang sudah keturunan dapat nombor empat. Walau saya nyanyilah baik macam mana pun, rezeki saya tetap nombor empat juga.
“Sebab, sudah keturunan. Ameng Spring dulu yang letak ‘bench mark’ (penanda aras) itu. Dia yang mulakan dapat nombor empat masa bersaing dalam Gegar Vaganza (GV), mungkinlah.
“Selepas itu adik saya, Ammar Haikal pun mengikut dapat nombor empat juga. Jadi, macam itulah sudah rezeki saya dapat nombor empat,” katanya.
Terdahulu, Azeva memuat naik hantaran video di media sosial membuatkan warganet terhibur dengan seloroh gadis itu sekali gus menunjukkan betapa hubungan kasih sayang bapa bersama anak perempuan sangat rapat.
Meninjau pada ruangan komen, kebanyakan netizen menyifatkan Azeva sangat berterus-terang dalam ‘content’ yang menghiburkan, selamba dan santai itu.
“Kelakar tengok video Azeva, selamba dia cakap macam itu pada Ameng,” kata netizen.
“Anak perempuan bongsu kesayangan papa, cantik Azeva,” ujar seorang warga maya.
“Lawa sangat Azeva ni, ada bakat menyanyi dan berlakon pun boleh,” tulis pengguna media sosial.
Difahamkan, karier seni Azeva sudah dirancang rapi oleh ibunya sebagai pengurus iaitu merakamkan semula lagu Sejiwa nyanyian asal Ameng.
Malah, Azeva turut meraih kepercayaan menyanyikan lagu tema (OST) filem lakonannya bersama pelakon Aniq Suhair sebagai single kedua, selain terus mendapat bimbingan guru vokal untuk menggilap bakat nyanyian.-HMetro Online-
IMedikel TV






