SELANGOR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai menjalankan aktiviti sebagai ‘doktor tidak bertauliah’ dalam satu Operasi Khas di sekitar Subang Bestari pada Khamis.
Operasi yang bermula kira-kira jam 11.52 pagi itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Operasi dijalankan hasil risikan selama sebulan sebelum pasukan operasi menyerbu sebuah premis dan menahan suspek.
“Semakan awal mendapati lelaki terbabit tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, tangkapan berkenaan merupakan kes keempat yang dikesan JIM sejak tahun 2024 membabitkan warga asing yang dipercayai menyamar atau menjalankan aktiviti sebagai doktor tidak bertauliah di negara ini.
Pasukan operasi turut menyita pelbagai peralatan perubatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu termasuk cap nama suspek, cap nama klinik, tablet, buku rekod urus niaga, dokumen Perakuan Amalan Tahunan (APC) serta dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan sebuah premis klinik swasta untuk menjalankan aktiviti perubatan secara tidak sah.
“Klinik tersebut juga dipercayai dikendalikan oleh seorang warganegara asing yang tidak mempunyai kebenaran yang sah untuk bekerja dalam sektor perubatan di negara ini.
“Suspek dipercayai diambil bekerja oleh individu berkenaan bagi menjalankan tugas sebagai doktor tidak bertauliah,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, bagi mengaburi pihak berkuasa dan meyakinkan pesakit, klinik berkenaan dipercayai menggunakan dokumen Perakuan Amalan Tahunan (Annual Practising Certificate – APC) serta kelayakan perubatan milik individu lain.
“Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati klinik tersebut dipercayai mengeluarkan sijil cuti sakit (MC) tanpa melakukan pemeriksaan atau penilaian kesihatan terhadap pelanggan dengan mengenakan bayaran RM20 bagi setiap pelanggan.
“Klinik itu dipercayai telah beroperasi selama lapan bulan,” katanya.
Suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi sama, seorang wanita tempatan turut diberikan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
JIM menegaskan akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara.
IMedikel TV






