Home Buletin Semasa “JOM MALAYSIA” PERKASA PRODUK TEMPATAN, KPDN LANCAR TRANSFORMASI KEMPEN BELI BARANGAN BUATAN...

“JOM MALAYSIA” PERKASA PRODUK TEMPATAN, KPDN LANCAR TRANSFORMASI KEMPEN BELI BARANGAN BUATAN MALAYSIA

19
0

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan inisiatif “Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA)” sebagai strategi transformasi kepada evolusi Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang diperkenalkan sejak 1984.

Pelancaran itu diadakan bersempena Festival Jom Malaysia X Pesta Kita 2026 yang berlangsung di Pasar Seni bermula 26 hingga 28 Jun lalu.

Menurut kenyataan media KPDN, festival berkenaan menghimpunkan seramai 123 usahawan dan pempamer dari seluruh negara yang menampilkan pelbagai produk serta perkhidmatan buatan Malaysia meliputi sektor makanan dan minuman, fesyen, kraftangan, produk gaya hidup, kosmetik, teknologi dan industri kreatif.

“Festival ini menjadi platform strategik yang menghubungkan usahawan, pengeluar, peruncit, pemain industri, agensi kerajaan dan pengguna dalam satu ekosistem yang menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan,” menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, pemilihan Pasar Seni sebagai lokasi pelancaran amat signifikan kerana kawasan itu merupakan antara ikon pelancongan dan pusat kebudayaan yang terkenal di negara ini.

“Lokasinya yang strategik menjadikan Pasar Seni platform terbaik untuk memperkenalkan produk tempatan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara, sekali gus menjadikan produk Malaysia sebagai duta kecil yang membawa cerita, identiti dan keunikan negara ke pentas antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPDN, melihat kepada sambutan serta potensi besar festival berkenaan, kementerian berhasrat memperkukuhkan kerjasama strategik bersama pihak Pasar Seni bagi menjadikan program itu sebagai acara tahunan utama untuk mempromosikan produk tempatan, memperluaskan peluang perniagaan serta menarik lebih ramai pelabur, pembeli dan pelancong ke Malaysia.

Kenyataan itu menjelaskan, “Jom Beli Produk Malaysia” merupakan evolusi baharu Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dengan memperkenalkan identiti serta pendekatan yang lebih segar, moden dan inklusif.

“Inisiatif ini bukan sekadar sebuah kempen, tetapi satu gerakan nasional untuk membina kebanggaan terhadap produk dan jenama tempatan.

“Melalui transformasi ini, KPDN berhasrat menjadikan produk Malaysia lebih dekat di hati pengguna, lebih menonjol di pasaran serta lebih berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Bagi memperkukuhkan momentum transformasi sepanjang tahun ini, KPDN akan melaksanakan beberapa inisiatif strategik yang memberi nilai tambah kepada pasaran dan produk tempatan, antaranya KITA KLIK!, Kita Untuk Kita, kerjasama bersama Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) serta Local to Global Retail Programme.

Menurut kenyataan itu, usaha memperkukuh penggunaan produk tempatan turut disokong prestasi ekonomi domestik yang memberangsangkan apabila sektor perdagangan borong dan runcit negara terus menunjukkan pertumbuhan positif dengan nilai jualan mencecah RM1.87 trilion pada 2025.

KPDN turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama menjayakan gerakan “JOM MALAYSIA” dengan menjadikan produk dan perkhidmatan tempatan sebagai pilihan utama.

“Setiap pembelian produk Malaysia bukan sahaja membantu memperkukuh perniagaan usahawan tempatan, malah menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan rakyat serta pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here