Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Penjara Penor mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh hubungan antara prospek dan keluarga apabila melancarkan Kumpulan WhatsApp Keluarga Prospek Sekolah Tahfiz Baitul Hikmah sebagai medium komunikasi bagi menyalurkan maklumat berkaitan perkembangan akademik serta aktiviti yang dijalankan di institusi berkenaan.
Majlis pelancaran kumpulan WhatsApp itu disempurnakan oleh Penolong Komisioner Penjara, Mohd Rusli Abd Rahman yang menjalankan tugas Pengarah Penjara Penor.
Turut hadir Timbalan Penguasa Penjara, Mohd Suhaimi Sautar serta Ketua Bahagian Pemulihan, Timbalan Penguasa Penjara Mohd Irsyad Shafiq Mustpha.
Program yang berlangsung di Dewan Melati, Penjara Penor itu turut diserikan dengan sesi ramah mesra membabitkan 12 keluarga prospek yang sedang mengikuti pengajian di Sekolah Tahfiz Baitul Hikmah.

Dalam majlis sama, para keluarga turut diberikan taklimat mengenai perkembangan pengajian prospek oleh Mudir Sekolah Tahfiz Baitul Hikmah Penjara Penor, Mohd Nor Hidayat Abu Bakar.
Menurut pihak pengurusan penjara, penubuhan kumpulan WhatsApp tersebut bertujuan memastikan keluarga sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai kemajuan pembelajaran, aktiviti kerohanian serta program pemulihan yang diikuti prospek sepanjang berada di institusi berkenaan.
“Untuk rekod, seramai 14 prospek kini sedang mengikuti pengajian di Sekolah Tahfiz Baitul Hikmah Penjara Penor,”katanya.
Sementara itu, seorang prospek yang hanya mahu dikenali sebagai Jalil, 39, berkata peluang mengikuti pengajian tahfiz di penjara telah mengubah kehidupannya ke arah yang lebih baik.
Jalil yang sedang menjalani hukuman penjara selama 18 tahun dan enam sebatan atas kesalahan merogol berkata, minat yang mendalam terhadap al-Quran mendorongnya untuk mendalami ilmu agama selepas selesai menjalani hukuman sebatan pada tahun 2020.
Menurutnya, selepas diterima mengikuti pengajian sepenuh masa di bawah bimbingan Mohd Nor Hidayat, beliau berjaya menguasai bacaan al-Quran dalam tempoh beberapa bulan sebelum memulakan hafazan secara serius.
“Alhamdulillah, selepas lima tahun mengikuti pengajian, saya kini berjaya menghafaz 16 juzuk al-Quran. Kejayaan ini adalah anugerah Allah SWT yang memberi peluang kepada saya untuk berubah dan memperbaiki diri,”katanya.
Penubuhan kumpulan WhatsApp keluarga itu dilihat sebagai satu lagi inisiatif Penjara Penor dalam memperkukuhkan sistem sokongan keluarga, sekali gus membantu proses pemulihan dan pembangunan sahsiah prospek melalui pendekatan pendidikan serta kerohanian.
IMedikel TV






