Home Buletin Semasa JIM TAHAN 186 PATI DALAM OPS KUTIP 

JIM TAHAN 186 PATI DALAM OPS KUTIP 

31
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Seramai 186 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu berskala besar yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menerusi ‘Ops Kutip’ di sekitar Pudu, awal pagi kelmarin.

Operasi yang bermula seawal jam 12.05 tengah malam itu membabitkan seramai 137 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran warga asing yang melanggar peraturan imigresen di ibu negara.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi JIM, pasukan operasi terdiri daripada 30 pegawai JIM WPKL, 27 pegawai JIM Selangor dan 15 pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM Putrajaya.

Turut terbabit ialah 30 anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), 30 anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta lima pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Sepanjang operasi dijalankan, seramai 320 individu daripada pelbagai warganegara diperiksa bagi mengesan pelanggaran undang-undang imigresen.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 186 PATI terdiri daripada 149 lelaki dan 37 wanita telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,”menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan daripada jumlah itu, warga Bangladesh mencatatkan bilangan tangkapan tertinggi dengan 118 lelaki, diikuti 28 warga Indonesia membabitkan tujuh lelaki dan 21 wanita.

“Turut ditahan ialah 26 warga Myanmar terdiri daripada 13 lelaki dan 13 wanita, lima warga Vietnam (tiga lelaki dan dua wanita), empat lelaki warga Nepal, dua lelaki warga India, seorang lelaki warga Pakistan serta dua warga China masing-masing seorang lelaki dan wanita.

“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63ecara khususnya di bawah Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki pas atau dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini, serta Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa (overstay),”jelas kenyataan itu.

JIM berkata, operasi yang dirancang secara teliti itu membuktikan komitmen berterusan jabatan berkenaan bersama agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras lambakan PATI, khususnya di ibu negara.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kedaulatan negara, keselamatan awam serta pematuhan terhadap undang-undang imigresen sentiasa terpelihara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here