Home Politik PAS, BERSATU ‘SUDAH BERCERAI NAMUN MASIH TINGGAL SERUMAH’

PAS, BERSATU ‘SUDAH BERCERAI NAMUN MASIH TINGGAL SERUMAH’

19
0

KUALA LUMPUR: Polemik perebutan jenama Perikatan Nasional (PN) membabitkan PAS dan BERSATU menimbulkan kecelaruan dalam kalangan pengikut politik tanah air.

Memetik laporan Berita Harian, PAS dan BERSATU bagaikan pasangan yang sudah bercerai namun tetap terpaksa tinggal serumah di bilik berlainan.

Ia susulan tindakan PAS yang menamatkan hubungan kerjasama politik dengan BERSATU, berkuatkuasa pada 8 Jun lalu, selepas ia diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Walaupun sudah berpisah, seorang pemimpin PAS ketika itu menyatakan parti terbabit mungkin kekal dalam PN, gabungan yang turut dianggotai BERSATU.

BERSATU mengakui kecewa dengan tindakan PAS tetapi menegaskan akan kekal dalam PN sebagai parti pengasas gabungan itu. 

Sehingga kini, tiada ketetapan jelas berhubung arah tuju PAS dan BERSATU dalam PN, kerana kedua-dua parti menganggap gabungan itu milik mereka. 

Persoalannya kini ialah adalah PN milik siapa dan bolehkah sesuatu parti disingkirkan daripada gabungan itu secara veto.

Berdasarkan kenyataan bekas Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, parti anggota PN hanya boleh dipecat melalui tindakan disiplin dan mesti mendapat persetujuan sebulat suara presiden parti gabungan.

Peraturan itu adalah menurut Fasal 7A Perlembagaan PN, yang menyatakan hanya Majlis Presiden dianggotai presiden parti mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad mengenai perkara disiplin parti anggota.

PN ditubuhkan pada 2020 sebagai gabungan politik diterajui dua parti komponen teras iaitu PAS dan BERSATU.

Pada peringkat awal, BERSATU berperanan dominan dalam PN kerana kedudukan Muhyiddin yang pernah menjadi Perdana Menteri.

GERAKAN menjadi parti komponen ketiga menyertai PN pada 11 Februari 2021, diikuti Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), pada 22 April 2024.

Percakaran dua parti teras PN itu turut mengheret parti komponen lain berada dalam dilema yang pada akhirnya pasti ada pihak perlu dikorbankan.

Melihat secara dasarnya, GERAKAN cenderung memihak kepada siapa sudah boleh dibaca berdasarkan sokongan diberikan parti itu terhadap Konvensyen RESET yang dirasmikan pemimpin PAS di Kelantan, baru-baru ini.

MIPP tidak hadir pada majlis itu dan masih berteka-teki siapa yang mahu dipilih.

Dalam hal ini, MIPP dilihat mampu menjadi penentu atau ‘kingmaker’ untuk menentukan siapa yang patut kekal dalam PN.

Majlis Presiden memerlukan konsensus atau sokongan semua presiden parti dan jika ada parti dikenakan tindakan tatatertib, maka presidennya mungkin keluar daripada sidang Majlis Presiden.

Justeru, tiga parti perlu setuju secara bersama dan sekiranya MIPP enggan, BERSATU tidak boleh disingkirkan.

Seorang pemimpin BERSATU yang dihubungi mempertikaikan keupayaan PAS memimpin PN kerana Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dianggap tidak menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.

Beliau berkata, sehingga kini tiada mesyuarat Majlis Tertinggi PN (MTPN) mahupun mesyuarat rundingan kerusi, persiapan pilihan raya atau mesyuarat jawatankuasa ‘electoral pact’

“BERSATU masih anggota PN. Pengerusi PN masih Dr Ahmad Samsuri, namun sejak beliau menjadi Pengerusi PN, isu dalaman makin banyak dan tidak selesai.

“Keputusan dan tindakan lambat diambil. Ada keputusan Mesyuarat MTPN tidak dilaksanakan.

“Tindakan menimbulkan konflik, memutuskan hubungan dengan parti komponen semasa hendak berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) daripada mengukuhkan gabungan menunjukkan PAS bertindak bertentangan dengan kepentingan PN,” katanya.

Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berpandangan soal BERSATU atau PAS yang perlu kekal dalam PN banyak bergantung pada kecenderungan MIPP dan GERAKAN.

Berdasarkan situasi semasa, katanya, GERAKAN dilihat cenderung kepada PAS dan Gerakan RESET manakala MIPP dijangka mengambil pendekatan sama.

“BERSATU mungkin perlu mengambil langkah sendiri. Sekiranya BERSATU tidak dapat sokongan parti lain, adakah parti itu boleh dikeluarkan dari PN atau wajar BERSATU keluar sendiri?

“Jika parti lain tidak mahu bekerjasama dengan BERSATU, BERSATU perlu mengambil langkah budiman dan matang dengan keluar PN.

“Bagaimana mereka boleh bekerjasama dalam keadaan parti lain tidak ingin bekerjasama dengan mereka? BERSATU perlu mengambil langkah wajar dan tidak berdegil kekal dalam keadaan parti lain tidak mahu bersama mereka,” katanya.

Apabila PAS membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU, katanya, mereka tidak lagi mempunyai ikatan dalam konteks pilihan raya dan gabungan.

Namun hakikatnya dari segi undang-undang organisasi, jika BERSATU masih memenuhi syarat sebagai ahli PN, parti terbabit tidak wajib keluar hanya kerana parti komponen lain tidak memihak padanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here