Home Hiburan ZULKARNAIN UTAMAKAN KUALITI, BUKAN KUTIPAN

ZULKARNAIN UTAMAKAN KUALITI, BUKAN KUTIPAN

33
0

KUALA LUMPUR: Hampir dua dekad mengabdikan diri dalam dunia perfileman, nama pengarah dan penerbit, Zulkarnain Azhar terus berdiri sebagai antara pembikin filem yang konsisten menghasilkan naskhah mendapat perhatian penonton.

Memetik laporan Berita Harian, di sebalik deretan kejayaan dan kutipan berjuta ringgit di pawagam, Zulkarnain, 43, menegaskan matlamat utamanya bukan mengejar angka semata-mata, sebaliknya memastikan setiap karya yang dihasilkan mempunyai jiwa, identiti serta mutu yang mampu meninggalkan kesan kepada penonton.

“Sudah pasti saya gembira apabila naskhah arahan mendapat sambutan dan penerimaan yang sangat baik daripada penonton di negara kita.

“Tetapi apabila menghasilkan filem, ramai bercakap soal kualiti atau kuantiti. Bagi saya, apa yang lebih penting adalah konsisten terhadap setiap naskhah yang dihasilkan dan perkara itu saya terapkan sejak filem pertama saya, J Revolusi pada 2017 hingga filem Polong.

“Dari awal memang saya konsisten terhadap pembikinan filem termasuk dari segi kualiti, penceritaan dan keberanian untuk membawa bentuk penceritaan baharu dalam industri,” katanya kepada BH Online. 

Menurut Zulkarnain atau mesra disapa Zul, beliau sentiasa meletakkan penilaian terhadap karya sendiri sebagai ukuran utama sebelum mengambil kira pandangan orang lain. 

Zulkarnain lebih gemar membaca kritikan daripada pengkritik filem berbanding ulasan pengguna media sosial.

“Kita tidak boleh terlalu bersandarkan kepada validasi orang lain dan bagi saya sendiri, saya perlu menilai filem saya melalui tontonan sendiri.

“Jika saya sendiri tidak mahu menonton filem yang saya hasilkan, bermakna filem itu tidak berjaya.

“Saya gemar menonton filem dan sentiasa meletakkan standard tinggi terhadap karya sendiri. Sebab itu saya lebih pentingkan penilaian saya terlebih dahulu.

“Tetapi sudah tentu saya mahu semua orang menonton filem yang saya hasilkan.

“Saya juga membaca kritikan daripada pengkritik filem kerana ia membantu saya melihat karya daripada sudut yang berbeza. Namun, ulasan atau komen daripada pengulas di media sosial jarang saya baca,” katanya.

Mengulas perubahan landskap penonton masa kini, Zulkarnain berkata perkembangan internet menjadikan ramai penonton lebih memahami proses pembikinan filem sehingga secara tidak langsung berubah menjadi pengulas.

“Kita sekarang berada dalam era yang tidak lagi melihat pembikinan filem sebagai sesuatu yang misteri.

“Berbeza dengan zaman sebelum kewujudan internet apabila penonton hanya menikmati filem tanpa mengetahui proses di sebalik pembikinannya.

“Tetapi sekarang kebanyakan orang sudah terdedah kepada pelbagai maklumat mengenai pembikinan filem menerusi YouTube dan media sosial.

“Mereka tahu bagaimana skrip ditulis dan memahami pelbagai aspek teknikal lain. Secara tidak langsung mereka menjadi pengulas.

“Kadangkala sekarang ini seolah-olah kita menghasilkan filem untuk pengulas dan bukan lagi untuk penonton,” katanya.

Berkongsi mengenai karya paling mencabar sepanjang kerjayanya, Zulkarnain berkata setiap filem mempunyai cabaran tersendiri. Namun, Polong memberi kesan emosi yang paling mendalam.

“Dari sudut emosi, saya fikir Polong memberi kesan yang cukup besar kerana saya bukan sahaja bertindak sebagai pengarah dan penulis, malah, penerbit.

“Boleh dikatakan Polong seperti anak sulung saya kerana projek ini benar-benar berada di bawah seliaan saya sepenuhnya.

“Berbeza dengan filem lain, Polong dihasilkan dengan kebebasan penuh tanpa campur tangan pihak eksekutif.

“Mereka memberikan kepercayaan 100 peratus untuk saya menentukan hala tuju filem ini. Sebab itu saya sangat menitikberatkan kualiti serta hasil akhirnya,” katanya.

Pembikinan filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa pula disifatkan sebagai pengalaman paling mencabar dari sudut keseluruhan proses.

Zulkarnain berkata, filem terbabit berdepan pelbagai dugaan termasuk cuaca buruk dan pandemik COVID-19 yang menyebabkan proses penerbitan tertangguh.

“Ketika penggambaran berlangsung kami berdepan musim hujan sehingga ada set yang hampir hanyut dan beberapa babak terpaksa ditangguhkan.

“Bukan itu sahaja, ketika memasuki fasa pascaproduksi negara pula dilanda pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP menyebabkan proses pembikinan tertangguh selama bertahun-tahun.

“Saya sendiri dijangkiti COVID-19 sehingga berada pada tahap kritikal dan terpaksa ditidurkan sebanyak dua kali sebelum kembali pulih.

“Alhamdulillah, saya berjaya mengharunginya dan menyempurnakan filem itu sehingga dapat ditayangkan kepada penonton,” katanya.

Ditanya rahsia terus bertahan dalam dunia pengarahan, Zulkarnain mengakui kecintaannya terhadap filem bermula sejak kecil.

Katanya, pengalaman menonton filem melalui kaset VHS yang disewa arwah ibu bapanya menjadi titik awal beliau jatuh cinta terhadap dunia perfileman.

“Saya sedar dunia filem adalah sesuatu yang sangat dekat dengan diri saya. Saya rasa inilah bidang yang paling saya fahami dan paling sebati dengan jiwa saya.

Apa yang membuatkan saya teruskan adalah kerana saya rasa masih ada cerita yang belum diceritakan oleh pembikin filem lain.

“Saya anggap inilah giliran saya,” katanya.

Zulkarnain turut percaya persaingan dalam industri perlu dilihat secara positif kerana setiap pembikin filem mempunyai suara dan gaya penceritaan tersendiri.

“Apa yang lebih penting ialah kecintaan kita terhadap medium penceritaan. Selagi masih ada cerita yang ingin saya sampaikan kepada penonton selagi itulah saya akan terus berkarya dan menghasilkan filem,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here