Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Kuantan merampas cecair (perisa) rokok elektronik (vape) bernilai RM1.3 juta selepas bertindak menyerbu premis dan stor simpanan menerusi Ops Inter-Agensi di daerah ini, kelmarin.
Turut ditahan seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai pemilik premis, siasatan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan aktiviti perjudian.
Komander PPM Wilayah Tiga Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Khairuddin Jamal berkata, Ops Inter-Agensi yang bermula 10 pagi, kelmarin turut disertai anggota Bahagian Penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) .
“Dalam serbuan pertama di premis terletak di bandar ini, kami menemukan kira-kira 17,828 kotak cecair rokok elektronik pelbagai perisa.
“Turut ditahan seorang lelaki dipercayai pemilik premis berkenaan. Siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti penglibatan suspek berkaitan barang kes yang dirampas,”katanya di sini, hari ini.
Katanya, hasil soal siasat terhadap suspek pasukan serbuan bertindak menyerbu sebuah rumah di bandar ini yang dipercayai dijadikan stor simpanan cecair campuran rokok elektronik.
“Serbuan kedua di stor pula menemukan sebanyak kira-kira 29,969 kotak cecair rokok elektronik pelbagai campuran perisa antaranya perisa Device dan Cartridge yang dikatakan mendapat permintaan tinggi daripada golongan remaja.
“Suspek melakukan kesalahan di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976. Sabit kesalahan pihak PBT boleh membatalkan lesen perniagaan, mengarahkan premis ditutup, melakukan penyitaan barangan termasuk kompaun sehingga RM1,000,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus menyiasat bagi mengenal pasti penglibatan saspek berkaitan barang kes yang dirampas dan semua barang kes yang dirampas diserahkan kepada Bahagian Benguatkuasaan MBK untuk tindakan lanjut.
Mohd Khairuddin menegaskan, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi secara bersama dengan agensi penguatkuasaan lain bertujuan membenteras aktiviti penjualan cecair rokok elektronik secara berterusan dalam melindungi kesihatan awam khususnya menangani risiko penyalahgunaan bahan terlarang serta kesan buruk terhadap kesihatan.
“Kita akan mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang dan membendung penjualan secara tidak sah, masyarakat boleh menyalurkan maklumat terus kepada pejabat Pasukan Polis Marin berdekatan,” katanya.
IMedikel TV






