Home Buletin Semasa ISG MALAYSIA HARGAI SOKONGAN PMX TERHADAP TVET SENI BELA DIRI

ISG MALAYSIA HARGAI SOKONGAN PMX TERHADAP TVET SENI BELA DIRI

49
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pusat Pengajian ISG Malaysia merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atas sokongan yang dizahirkan terhadap pembangunan TVET Seni Beladiri menerusi lawatan rasmi beliau ke booth institusi itu sempena Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya, 6 Jun lepas.

Pengarah ISG Malaysia, Muhamad Amru Rusli berkata, lawatan tersebut merupakan satu pengiktirafan besar kepada usaha institusi itu dalam memperkasa pendidikan dan latihan kemahiran seni beladiri menerusi pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata, dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut menandatangani Plat Sokongan Rasmi TVET Martial Arts Pertama di Malaysia sebagai simbol komitmen kerajaan terhadap pembangunan bidang berkenaan.

“Sokongan yang diberikan di peringkat tertinggi negara menjadi pemangkin penting kepada usaha memperluaskan pembangunan TVET Seni Beladiri di seluruh negara serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap potensi bidang tersebut.

“ISG Malaysia kini merupakan Pusat Bertauliah (ADI) pertama di negara ini yang ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam bidang TVET Seni Beladiri,” katanya.

Beliau berkata, melalui program yang dibangunkan selaras dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), peserta berpeluang mengikuti laluan pendidikan sehingga memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5.

Jelasnya, pembangunan program berkenaan merupakan satu transformasi penting yang mengangkat seni beladiri daripada persepsi tradisional kepada bidang profesional yang mempunyai struktur pendidikan, standard kompetensi serta laluan kerjaya yang jelas.

“Pendekatan TVET membolehkan warisan seni beladiri Melayu diperkasakan sebagai bidang kemahiran profesional yang mampu melahirkan tenaga kerja mahir, jurulatih profesional, pengurus program, usahawan dan pakar pembangunan seni beladiri bertaraf nasional serta antarabangsa.

“Inisiatif ini turut membuka lembaran baharu dalam pembangunan modal insan negara dengan menjadikan seni beladiri sebagai sektor yang mempunyai nilai ekonomi dan potensi kerjaya yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menghargai sokongan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang mengunjungi Booth Gayong TVET Martial Arts pada program sama dan menyatakan sokongan terhadap pembangunan TVET Seni Beladiri di negara ini.

Muhamad Amru berkata, sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, Ahmad Zahid melihat pembangunan TVET Seni Beladiri sebagai platform yang mampu memperkukuh pembangunan modal insan melalui disiplin, kepimpinan, sahsiah dan kompetensi.

Menurutnya, ISG Malaysia akan terus komited memperkasakan agenda TVET Seni Beladiri agar lebih ramai generasi muda mendapat manfaat daripada pendidikan kemahiran yang diiktiraf, sekali gus melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berdisiplin dan berdaya saing di peringkat global.

Katanya, Pusat Pengajian ISG Malaysia dan Amru Ventures ditubuhkan di Kok Lanas, di sini sejak 2017 dan memperoleh lesen atau ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan (JPK) sebagai Pusat Bertauliah Rasmi pada April 2026.

Muhamad Amru berkata, ISG Malaysia sedang memacu transformasi Silat Melayu ke arah silat moden menerusi Program TVET Seni Beladiri pertama di Malaysia membolehkan peserta belajar silat sambil memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf kerajaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here