Oleh Bazli Razak@IMedikel TV
TANJONG MALIM: Lebih 3,000 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta masyarakat setempat menyertai Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil khas bagi memperingati tragedi kemalangan bas yang mengorbankan 15 nyawa penuntut universiti itu di Gerik, Perak, baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh hiba itu diadakan secara hibrid melibatkan kehadiran fizikal di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI serta siaran langsung secara dalam talian bagi membolehkan penyertaan warga universiti di pelbagai lokasi.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, majlis berkenaan bukan sahaja menjadi simbol solidariti dan kebersamaan warga universiti, malah menjadi ruang untuk mendoakan kesejahteraan roh mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.
“Walaupun masa terus berlalu, kehilangan anak-anak UPSI ini tetap dirasai seluruh warga universiti. Kehadiran ribuan peserta pada malam ini mencerminkan semangat kekeluargaan yang utuh dalam kalangan warga UPSI.
“Kita berhimpun bukan sekadar untuk mengenang, tetapi untuk terus mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat serta keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan, semalam.
Beliau berkata UPSI akan terus komited memastikan kebajikan keluarga mangsa serta sokongan emosi dan psikologi kepada warga yang terkesan diberikan secara berterusan.
Majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat itu dipimpin oleh Imam Masjid Al-Mursyidin yang juga mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat UPSI, Muhammad Irfan Mohd Amir.

Suasana hiba menyelubungi para hadirin apabila sebahagian peserta, khususnya pelajar, tidak dapat menahan sebak sepanjang majlis berlangsung.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Profesor Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Profesor Dr. Mohd Izwan Shahril serta barisan pengurusan universiti.
Terdahulu, pada awal pagi 9 Jun 2025, seramai 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama di Tanjong Malim, Perak, terbalik selepas melanggar sebuah Perodua Alza.
IMedikel TV






