JAKARTA: Seorang lelaki di Jawa Tengah, Indonesia, baru-baru ini, didakwa selepas didapati meracun ibu mentuanya dengan sate hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia, lapor The Straits Times yang memetik beberapa media tempatan.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, tertuduh, Purwadi Wahyudi, 40, mengaku membeli sebungkus sate ayam dan mencampurkannya dengan racun tikus, kata Ketua Polis Daerah Boyolali, Indra Maulana Saputra pada sidang media 8 Jun lalu, lapor media Indonesia, Kumparan.
Pada 18 Mei lalu, Purwadi kemudian didakwa mengatur penghantaran makanan itu kepada mangsa, Aminah, 57, melalui perkhidmatan kurier GoSend.
Menurut portal berita Detik, Purwadi menyamar menjadi adik iparnya, Luriyanti Putri iaitu anak kedua mangsa di akaun GoSend dengan menggunakan nama dan gambar wanita berkenaan.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Boyolali, Indrawan Wira Saputra berkata, sebaik menerima sate itu, Aminah ada menghubungi Luriyanti untuk bertanyakan sama ada dia menghantar makanan berkenaan.
Luriyanti menafikan dan memberitahunya untuk tidak memakan makanan itu.
Namun, Aminah dikatakan memakan sate beracun berkenaan. Luriyanti yang singgah ke rumah Aminah pada keesokan harinya menemukan ibunya sudah tidak bernyawa dengan mulut yang berbuih.
Portal Detik melaporkan, selepas Aminah dikebumikan, keluarganya membuat laporan polis kerana mengesyaki ada yang tidak kena dengan kematian wanita itu.
Pada 30 Mei lalu, kubur Aminah digali dan bedah siasat dijalankan. Sampel termasuk sisa muntah pada pakaian Aminah, lidi sate yang digunakan untuk sate ayam itu, dan bangkai ayam yang disyaki memakan sate itu turut diuji.
“Keputusan forensik dan bedah siasat yang dijalankan oleh makmal forensik Polis Wilayah Jawa Tengah menemukan racun tikus dalam badan mangsa. Ini adalah punca kematian mangsa,” kata Ketua Polis Daerah Boyolali, Indra dipetik oleh Kumparan.
Susulan kejadian, polis menahan Purwadi. Menurut siasatan, Purwadi yang menganggur merancang membunuh ibu mentuanya itu kerana berasa sakit hati kerana dia sering disisihkan dan diabaikan oleh mangsa.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






