Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki berusia 33 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Kilometer 1, Jalan Gua Musang-Jeli berhampiran Taman Tropika, di sini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menerima makluman daripada Hospital Gua Musang mengenai kematian mangsa pada kira-kira jam 11.40 pagi semalam.
“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku pada Isnin lalu membabitkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun.
“Ketika kejadian, pemandu kereta sedang dalam perjalanan dari Bandar Baru menghala ke Sungai Terah.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 9 Jun kira-kira jam 10.41 pagi ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian,”katanya.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 09-9121222.
IMedikel TV






