Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 30,801 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen sehingga 31 Mei lalu, dengan 2,324 daripada mereka dikesan menyalahgunakan pas yang diberikan termasuk terbait dalam aktiviti yang tidak selaras dengan tujuan asal kemasukan ke negara ini.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, JIM terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing yang melanggar syarat pas serta menjalankan aktiviti pekerjaan dan perniagaan tanpa kebenaran yang sah.
“Penyalahgunaan pas imigresen adalah antara kesalahan yang diberi perhatian serius kerana ia membabitkan penggunaan kemudahan yang diberikan untuk tujuan selain daripada yang dibenarkan di bawah undang-undang negara.
“Daripada keseluruhan tangkapan tersebut seramai 2,324 warga asing dikenal pasti menyalahgunakan pas yang diberikan, termasuk terbabit dalam aktiviti yang tidak selaras dengan tujuan asal kemasukan mereka ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Menurut beliau, bagi memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan dan menyeluruh, JIM telah melaksanakan beberapa pendekatan strategik termasuk penubuhan Inspektorat Penguatkuasaan, pelaksanaan operasi bersasar di lokasi tumpuan serta tindakan tegas terhadap majikan yang melanggar peraturan imigresen.
Katanya, JIM turut memperkukuhkan operasi bersepadu bersama pelbagai agensi penguat kuasa berkaitan bagi meningkatkan keberkesanan tindakan terhadap pelanggaran undang-undang imigresen.
Dalam masa sama, beliau berkata jabatan itu menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan yang memberi penekanan kepada tindakan terhadap warga asing dan majikan yang melakukan kesalahan imigresen sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pematuhan undang-undang negara.
“Selaras dengan penegasan kerajaan untuk mempertingkat tindakan terhadap penyalahgunaan pas dan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran, JIM akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan serta memperkukuh kerjasama strategik dengan kementerian, agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan.
“Kerjasama ini penting bagi memastikan setiap pelanggaran undang-undang dapat ditangani secara lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya.
Beliau menegaskan JIM kekal komited memastikan segala kemudahan imigresen yang diberikan digunakan mengikut tujuan yang dibenarkan selain menyokong usaha kerajaan dalam memelihara ketenteraman awam, integriti sistem imigresen dan mewujudkan persekitaran ekonomi yang adil kepada semua pihak.
IMedikel TV






