Home Luar Negara LELAKI TERSELAMAT SELEPAS MERANGKAK KE KEM INDUK EVEREST, BERANSUR PULIH

LELAKI TERSELAMAT SELEPAS MERANGKAK KE KEM INDUK EVEREST, BERANSUR PULIH

38
0

KATHMANDU: Seorang pendaki Nepal yang menghabiskan masa selama enam hari merangkak turun dari Gunung Everest selepas ditinggalkan, kini dipindahkan dari unit rawatan rapi (ICU) ke wad biasa dan beransur pulih, menurut keluarganya pada Selasa.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, kelangsungan hidupnya yang luar biasa itu mencetuskan kegembiraan dalam kalangan rakan pendaki, namun turut menimbulkan kemarahan dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti pendaki gunung berikutan dakwaan kegagalan mengesan lelaki itu lebih awal.

Dawa Sherpa, 57, dilaporkan hilang dalam keadaan cuaca buruk di kawasan cerun di gunung tertinggi di dunia itu pada 30 Mei lalu. Mangsa ditemukan pada pagi Khamis ketika dia merangkak menuju ke kem induk dan dibawa menggunakan helikopter ke bandar ini untuk mendapatkan rawatan segera.

Doktor kini merawat mangsa di sebuah hospital di sini berikutan kecederaan akibat reput fros (frostbite), dehidrasi teruk dan patah tulang paha yang dialaminya sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, doktor kini giat memantau perkembangan keadaan tangan dan kaki mangsa secara rapi untuk melihat sebarang tanda penambahbaikan sepanjang tempoh rawatan. 

Terkandas dalam suhu beku berhampiran “Zon Kematian” Everest iaitu kawasan dengan paras oksigen yang sangat rendah, Dawa Sherpa memaklumkan dia bertahan selama beberapa hari tanpa makanan atau air. 

“Saya sangka saya akan mati di situ. Saya tidak sesat. Apabila bekalan oksigen habis, saya tertinggal di belakang. Selepas oksigen habis, saya tidak mampu berjalan,” katanya kepada BBC Nepali pada Jumaat dari katil hospitalnya.

Katanya, dia tidak makan apa-apa untuk dua hari pertama sebelum terpaksa mengunyah ais yang sangat keras sehingga menyakitkan gigi semata-mata untuk terus bertahan hidup.

Dawa Sherpa yang juga dikenali sebagai “Hillary” sempena nama pendaki legenda Edmund Hillary turut memberitahu bahawa selepas diselamatkan, beliau mendakwa terjatuh ke dalam rekahan ais.

Bagaimanapun, dia terus merangkak dan ditemukan masih bergerak perlahan menuju ke kem induk oleh Jawatankuasa Kawalan Pencemaran Sagarmatha (SPCC), sebuah pasukan Nepal yang bertanggungjawab menetapkan laluan di Everest serta membersihkan sisa buangan di kawasan berkenaan.

“Terdapat kecuaian dalam kes ini. Siasatan perlu dijalankan untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku supaya kejadian seumpama ini tidak berulang,” kata Presiden Persatuan Pendaki Everest, Maya Sherpa kepada AFP pada Selasa.

Persatuan Pendaki Gunung Nepal juga meminta jawatankuasa kerajaan menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan ketika sekurang-kurangnya lima pendaki terdiri daripada dua warga India dan tiga warga Nepal meninggal dunia sepanjang musim pendakian Everest tahun ini.

Lebih daripada 1,000 pendaki berjaya sampai ke puncak Everest, menurut angka awal kerajaan Nepal, menjadikannya musim paling sibuk dalam rekod sejarah serta berjaya menjana lebih AS$7 juta (kira-kira RM32.8 juta) hasil daripada permit pendakian. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here