Home Hiburan WATAK JAHAT BANTU DYNAS KEKAL RELEVAN

WATAK JAHAT BANTU DYNAS KEKAL RELEVAN

44
0

PETALING JAYA: Lebih dua dekad mengabdikan diri dalam dunia lakonan, Dynas Mokhtar tidak pernah merungut apatah lagi berkecil hati apabila kerap diberi kepercayaan menggalas watak antagonis.

Memetik laporan Berita Harian, sebaliknya, Dynas, 43, menganggap karakter jahat sebagai peluang terbaik untuk menyerlahkan kemampuan lakonan kerana watak seumpama itu lebih mencabar, berwarna-warni dan meninggalkan impak kepada penonton.

Menurut Dynas, watak antagonis mempunyai kelebihan tersendiri kerana memberi ruang luas kepada pelakon meneroka pelbagai emosi dan teknik lakonan.

“Beberapa hari lalu, saya berbual dengan pelakon Ezaidi Aziz. Dia mengadu sering diberikan watak jahat.

“Saya beritahu dia, perkara ini mudah sahaja. Kalau mahu jadi seperti saya, terima dan lalui sahaja semua watak yang diberi kerana karakter jahat selalunya lebih menonjol dan mudah diingati penonton. 

“Banyak perkara boleh kita mainkan menerusi watak antagonis. Jika watak baik, lakonannya kadangkala lebih mendatar dan biasanya berada di belakang watak jahat,” katanya ketika ditemui pada sesi Watch Party drama bersiri Griya: Rahsia Seorang Lelaki di Damansara Utama di sini, baru-baru ini.

Dynas berkata, seseorang pelakon perlu bijak mengawal dan menghidupkan setiap karakter yang diberi supaya bakat mereka benar-benar dapat diterjemahkan kepada penonton.

Pada masa sama, beliau menasihatkan pelakon baharu supaya tidak terlalu memilih watak pada peringkat awal pembabitan dalam industri seni.

Berkongsi mengenai wataknya sebagai Razia atau Kak Yan dalam drama bersiri Griya: Rahsia Seorang Lelaki terbitan Skop Productions, Dynas mengakui teruja kerana kali ini tidak membawakan karakter antagonis sepenuhnya.

Bagaimanapun, beliau lebih teruja melihat watak Razman yang dilakonkan Nazim Othman kerana mempunyai sisi misteri dan psikologi yang menarik.

“Sebaik menerima skrip, saya terus teruja kerana kebanyakan watak yang saya terima sebelum ini semuanya jahat.

“Dalam Griya, saya bukan watak jahat, tetapi penonton mungkin akan sangka saya jahat. Kalau mahu tahu sebabnya, kena tonton drama ini,” katanya.

Griya: Rahsia Seorang Lelaki mengisahkan usaha seorang peguam, Sophia lakonan Chacha Maembong dan Detektif Liana lakonan Scha Alyahya membongkar misteri kehilangan isteri kedua kepada lelaki kaya dan berkarisma bernama Razman yang dilakonkan Nazim. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here