Home Hiburan PERUBAHAN MUZIK PERLUKAN MASA UNTUK DITERIMA – ERNIE ZAKRI

PERUBAHAN MUZIK PERLUKAN MASA UNTUK DITERIMA – ERNIE ZAKRI

39
0

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Ernie Zakri tidak menolak setiap perubahan yang dibawa dalam perjalanan seninya mungkin mengundang pelbagai reaksi, termasuk kritikan daripada segelintir pihak yang sukar menerima pembaharuan dalam karya-karyanya.

Memetik laporan Beritya Harian, bagaimanapun, Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 34, percaya penerimaan terhadap sesuatu perubahan memerlukan masa dan tidak berlaku dalam sekelip mata.

Menurut pelantun lagu Tak Berlagu itu, situasi berkenaan bukan sahaja berlaku dalam dunia seni, malah menjadi lumrah dalam kehidupan apabila seseorang cuba mengubah rutin atau kebiasaan yang sudah sebati.

“Macam kita sendiri pun apabila mahu mengubah sesuatu rutin, ia bukan perkara mudah. Saya bagi contoh, hari ini kita berazam mahu bersenam, tetapi belum tentu dapat terus konsisten.

“Begitulah juga dengan muzik. Apa yang kita berikan kepada pendengar adalah satu pembaharuan dan mereka juga memerlukan masa untuk membiasakan diri. 

“Pada saya, jika kita terus konsisten dan percaya dengan apa yang mahu disampaikan, lambat-laun, insya-Allah orang akan menerima juga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran OST Khadam berjudul ‘Tak Berlagu’ di Bukit Kiara, di sini, baru-baru ini. 

Mengulas pandangan segelintir pihak yang menganggap karya terbaharunya kini lebih “berat” berbanding sebelum ini, Ernie mengakui setiap pendengar mempunyai cita rasa dan perspektif berbeza terhadap muzik.

Katanya, dia menghormati pandangan tersebut dan tidak pernah berhasrat memaksa sesiapa menerima setiap karya yang dihasilkan.

“Kalau ada yang tidak dapat menerima, tidak mengapa. Mungkin mereka mempunyai cita rasa dan pandangan tersendiri terhadap muzik yang disukai.

“Saya juga tidak boleh memaksa orang menerima diri saya sepenuhnya.

“Mungkin ada yang mengikuti perjalanan seni saya sejak 10 tahun lalu dan merasakan karya saya sekarang terlalu berat.

“Tetapi saya percaya, jika saya terus konsisten dan yakin dengan apa yang dilakukan, lama-kelamaan mereka akan dapat memahami dan menerimanya,” katanya.

Dalam masa sama, Ernie berkata, dia memilih untuk terus menjadi dirinya sendiri dan tidak terlalu memikirkan soal penerimaan semua pihak selagi apa yang dikongsikan membawa perkara positif.

Katanya, kecaman mungkin timbul jika seseorang sengaja berkongsi perkara yang negatif, namun dia sekadar mahu berkongsi minat dan perjalanan seninya bersama peminat.

“Sudah tentu kalau kita tahu sesuatu perkara itu tidak baik, tetapi tetap mahu berkongsinya, ia memang boleh mengundang kecaman.

“Tetapi setakat ini, saya hanya berkongsi perkara yang saya suka bersama peminat dan semuanya berjalan dengan baik.

“Seperti yang saya katakan, ada orang akan suka dan ada juga yang tidak suka. Namun, kita sendiri yang menjalani kehidupan ini.

“Kalau mahu menjadi seperti orang lain, rasanya tidak seronok. Jadilah diri sendiri kerana orang menyukai kita disebabkan diri kita yang sebenar. Itu yang saya pegang dan cuba praktikkan dalam kehidupan,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here