Home Luar Negara 12 CEDERA DALAM KES BERBALAS TEMBAKAN DEKAT FESTIVAL DI OHIO

12 CEDERA DALAM KES BERBALAS TEMBAKAN DEKAT FESTIVAL DI OHIO

NEW YORK: Sekurang-kurangnya 12 individu cedera dalam kes berbalas tembakan membabitkan dua suspek berhampiran tapak pesta di Toledo, Ohio Amerika Syarikat (AS) semalam, kata pihak polis.

Menurut polis, dua daripada mangsa berada dalam keadaan kritikal. Mangsa yang cedera berusia antara 14 hingga 61 tahun.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, kes itu dipercayai membabitkan dua individu yang saling berbalas tembakan antara satu sama lain.

“Saya sudah banyak kali berada di lokasi kejadian jenayah, tetapi ini benar-benar di luar jangkaan,” kata Leftenan Polis, Dan Gerken kepada wartawan dalam sidang media.

Pihak berkuasa masih berusaha memburu suspek yang terbabit dalam kejadian itu, yang disifatkan Timbalan Ketua Polis, Joseph Heffernan, sebagai siasatan yang ‘giat dijalankan’.

“Kami mempunyai beberapa bahan bukti dan sedang meneliti beberapa petunjuk,” katanya.

Menurut Gerken, penyiasat sedang menemubual beberapa individu serta meneliti rakaman kamera di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pengarah Keselamatan Awam Toledo, George Kral, menggesa orang ramai yang mempunyai rakaman telefon bimbit berkaitan kejadian itu supaya menyerahkannya kepada polis bagi membantu siasatan.

“Saya tahu ada maklumat di luar sana. Tolong bantu kami membantu anda,” katanya.

Menurut Jabatan Polis Toledo dalam satu hantaran di Facebook memberitahu anggota polis dikerahkan ke lokasi sekitar jam 5.37 petang selepas menerima laporan mengenai seorang individu ditembak berhampiran Festival Old West End.

“Mangsa yang ramai telah dibawa ke beberapa kemudahan perubatan berhampiran untuk menerima rawatan,” menurut kenyataan itu.

Kral berkata, beberapa ratus orang berada di festival berkenaan ketika kejadian berlaku.

“Ini adalah antara festival paling ikonik di Toledo dan amat menyedihkan apabila tragedi seperti ini mencemarinya,” katanya.

Menurut laman sesawang Gun Violence Archive, tidak termasuk kes di Toledo, sebanyak 171 kejadian tembakan beramai-ramai direkodkan di AS tahun ini.

Laman itu mentakrifkan tembakan beramai-ramai sebagai kes yang mengakibatkan sekurang-kurangnya empat individu cedera akibat tembakan, tidak termasuk penembak. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here