Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Mastalgia ialah sejenis sakit atau ketidakselesaan yang dirasai pada payudara.
Keadaan ini sangat lazim dialami oleh golongan wanita, khususnya dalam kalangan wanita usia reproduktif.
Pakar Perunding Bedah Am Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr Wan Zainira Wan Zain berkata mastalgia mempunyai tiga jenis keadaan kesakitan, iaitu mastalgia siklikal yang merupakan jenis paling biasa dan sering dialami ketika kitaran haid.

“Ia biasanya menyebabkan sakit pada payudara sebelum haid akibat perubahan hormon estrogen dan progesteron,” katanya.
“Bagi mastalgia bukan siklikal pula, ia tidak berkait dengan haid dan boleh berlaku pada satu bahagian payudara sahaja,” katanya.
Beliau berkata, selain itu terdapat juga kesakitan yang dikenali sebagai sakit luar payudara (extramammary), iaitu kesakitan yang berpunca daripada otot dada, tulang rusuk atau saraf,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata antara punca mastalgia adalah perubahan hormon, perubahan fibrokistik iaitu ketulan tidak berbahaya, trauma atau kecederaan kecil, jangkitan atau mastitis serta saiz payudara yang besar yang boleh menyebabkan ketegangan pada ligamen.
Tambahnya, dalam sesetengah keadaan, ia juga boleh dipengaruhi oleh pengambilan kafein secara berlebihan serta penggunaan ubat hormon seperti pil perancang.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan mastalgia tidak berkaitan dengan penyakit kanser payudara.
Namun, individu perlu mendapatkan pemeriksaan segera sekiranya mengalami tanda-tanda seperti ketulan baru pada payudara, sakit setempat yang berterusan, keluar cecair dari puting terutamanya berdarah, perubahan kulit seperti berkedut atau menyerupai kulit oren serta perubahan bentuk payudara.
“Jika sakit berkaitan kitaran haid dan hilang selepas haid, biasanya ia tidak berbahaya,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan doktor akan dilakukan melalui pemeriksaan fizikal serta penyiasatan seperti ultrasound atau mammogram bergantung kepada umur dan tahap risiko pesakit.
Dr Wan Zainira turut menasihatkan wanita agar mengamalkan penjagaan diri seperti memakai bra sokongan yang sesuai, khususnya bagi mereka yang mempunyai saiz payudara besar serta mengelakkan aktiviti yang boleh mencetuskan kesakitan.
“Dalam aspek gaya hidup, pengambilan kafein dan makanan tinggi lemak perlu dikurangkan, selain mengamalkan diet seimbang seperti buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya.
Jelas beliau, bagi individu yang mengalami mastalgia, rawatan boleh melibatkan ubat tahan sakit seperti paracetamol.
Pengurusan stres melalui senaman secara konsisten juga turut disarankan.
IMedikel TV






