Home Buletin Semasa EMPAT PEMILIK BOT, EMPAT TEKONG MENGAKU TIDAK BERSALAH MILIKI LEBIH 19,000 LITER...

EMPAT PEMILIK BOT, EMPAT TEKONG MENGAKU TIDAK BERSALAH MILIKI LEBIH 19,000 LITER DIESEL

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Empat pemilik bot dan empat tekong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 19, 836.768 liter diesel tanpa lesen yang sah, April lalu.

Semua Orang Kena Saman (OKS) yang berusia 22 hingga 51 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkipli Abdullah.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan lapan OKS itu didapati telah ada dalam kawalannya barang kawalan berjadual minyak diesel sebanyak 19,836.768 liter dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak yang munasabah.

Empat pemilik bot, Ahmad Fahami Sukrie Mohamad, 33, Mohd Raffi Ramli, 47, Zawawi Zakaria, 48 dan Mohd Zurin Yahya, 51 didapati secara syak munasabah memiliki 9,918.384 liter barang kawalan iaitu diesel yang juga barang berjadual yang disimpan dalam tangki bot dan tangki simpanan.

Manakala empat tekong Muhamad Haika Dalwis, 22, Haziq Haiqal Bahrom, 24, Muhammad Nor Haffizi Azhar, 24 dan Mohd Shahrul Azan Ismail, 39 pula didakwa memiliki baki 9918.384 liter diesel yang disimpan dalam tangki bot.

Semua kesalahan itu dilakukan di lokasi sama di Pengkalan Nazori, Kampung Geting, Tumpat antara 4.53 petang hingga 4.55 petang pada 12 April lalu.

Semua OKS didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Siti Edabayu Subhan bersama Pegawai Pendakwa Muhammadi Iman Masjuri, manakala kesemua OKS diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.

Terdahulu, Muhammadi Iman memohon RM20,000 jaminan untuk setiap pertuduhan ke atas OKS dengan mengambil kira kes serius yang membabitkan barangan kawalan serta kepentingan awam.

Bagaimanapun Mohd Azrul Hasyimi memohon jaminan paling minimum diberikan memandangkan mereka tidak lagi mempunyai pendapatan selepas bot yang digunakan dirampas.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Muhamad Haika dan Ahmad Fahami Sukrie diikat jamin RM4,000, manakala enam lagi OKS yang lain sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here