Home Buletin Semasa 11 ENTITI TAWAR PINJAMAN SEWA BELI DI BAWAH AKTA BAHARU MULAI 1...

11 ENTITI TAWAR PINJAMAN SEWA BELI DI BAWAH AKTA BAHARU MULAI 1 JUN

21
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Sebanyak 11 entiti institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli bersedia menawarkan pinjaman sewa beli berdasarkan pindaan peruntukan yang termaktub dalam Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 dan peraturan subsidiari.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, berkata fasa kedua pula disasarkan bermula pada bulan September 2026. 

“Para pengguna yang ingin mendapat manfaat di bawah peruntukan undang-undang baharu ini dinasihatkan untuk membuat semakan berkaitan sebelum memuktamadkan perjanjian sewa beli.

“Pada masa yang sama, institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli yang masih dalam proses persediaan termasuk integrasi dan pengubahsuaian sistem diberikan tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli digalakkan untuk menawarkan perkhidmatan berdasarkan kerangka undang-undang baharu ini pada kadar segera dan memaklumkan Kementerian sebaik memuktamadkan proses peralihan.

Katanya kementerian akan menguatkuasakan secara rasmi Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026   bermula 1 Jun sebagai langkah memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan sistem pembiayaan sewa beli yang lebih adil, telus dan berdaya saing. 

“Sejajar dengan pindaan ini, Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Caj Terma) 2026 [P.U.(A) 171/2026] akan turut berkuat kuasa.

“Penguatkuasaan ini adalah susulan daripada pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 yang telah diluluskan di Parlimen pada tahun 2025 sebagai sebahagian daripada ikhtiar memperkukuh kerangka perundangan berhubung ekosistem kredit pengguna,”katanya.

Beliau berkata sebelum pindaan tersebut,, antara isu yang sering menjadi keluhan rakyat adalah berkaitan transaksi sewa beli dalam pembelian kenderaan, khususnya membabitkan beban caj faedah tersembunyi serta baki pinjaman yang masih tinggi walaupun pengguna membuat penyelesaian awal pinjaman.

“Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman,”katanya.

Menurut beliau antara inti pati utama pindaan berkenaan pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata dan kaedah Peraturan 78. 

“Di bawah kaedah tersebut, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.

“Sebagai ganti, pindaan itu memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki dan Kadar Faedah Efektif bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.

“Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna,”katanya.

Tambahnya, pindaan berkenaan turut membenarkan penggunaan tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik, selaras dengan transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian sewa beli. 

Di samping itu, pindaan itu turut memperkenalkan keperluan dua pelaksanaan usaha wajar untuk pengesahan identiti peminjam sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan.

“Reformasi undang-undang ini menunjukkan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri, serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here