Home Buletin Semasa HAMPIR 1,000 PENGANUT AGAMA BUDDHA HADIR MERIAHKAN WAT MACHIMMARAM SEMPENA HARI WESAK

HAMPIR 1,000 PENGANUT AGAMA BUDDHA HADIR MERIAHKAN WAT MACHIMMARAM SEMPENA HARI WESAK

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TUMPAT: Hampir 1,000 penganut agama Buddha berhimpun di Wat Machimmaram di sini bagi memeriahkan upacara sembahyang sempena sambutan Hari Wesak, hari ini.

Pengerusi Persatuan Wanita Siam Negeri Kelantan, KC Ngiam Eh Kuan berkata, sambutan itu turut menarik kehadiran penganut Buddha dari seluruh Kelantan serta beberapa negeri lain yang datang secara berkumpulan termasuk menggunakan pengangkutan bas bagi memeriahkan acara berkenaan.

“Hari Wesak adalah perayaan penting yang disambut oleh penganut Buddha di seluruh dunia setiap tahun, termasuk di India yang menjadi antara lokasi utama sambutan kerana agama Buddha berasal dari negara tersebut.

“Sambutan ini diwarisi secara turun-temurun dan sentiasa mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun cuma ketika pandemik Covid-19, ia sedikit terjejas, namun kini kembali berlangsung dengan meriah apabila ramai penganut menantikan ketibaan Hari Wesak.

“Kehadiran pada tahun ini amat memuaskan dan menunjukkan sambutan masyarakat terhadap perayaan ini masih sangat baik,” katanya ketika ditemui sempena Sambutan Hari Wesak di Wat Machimmaram, di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun majoriti rakyat negeri ini beragama Islam, namun hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama sentiasa berada dalam keadaan harmoni serta saling menghormati.

Katanya, semangat perpaduan itu dapat dilihat apabila masyarakat Siam turut berkongsi kegembiraan sempena Maulidur Rasul, manakala masyarakat Melayu Islam sentiasa menghormati sambutan Hari Wesak dan keagamaan penganut agama lain.

“Hubungan yang terjalin di sini sangat baik dan kami menganggap antara satu sama lain seperti sebuah keluarga.

“Kanak-kanak dalam komuniti Siam akan mengikuti kelas Bahasa Siam di wat-wat bagi mempelajari bahasa ibunda mereka serta mengekalkan warisan budaya masyarakat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sambutan Hari Wesak kali ini turut menarik kehadiran rombongan penganut Buddha termasuk masyarakat Cina dari luar Kelantan bagi menyertai upacara keagamaan tersebut.

Hari Wesak disambut bagi memperingati kelahiran, pencerahan dan kewafatan Gautama Buddha, dengan pengisian utama tertumpu kepada upacara sembahyang serta amalan keagamaan di wat-wat seluruh negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here