Home Hiburan DIANA DANIELLE CARI CEF PERIBADI

DIANA DANIELLE CARI CEF PERIBADI

32
0

KUALA LUMPUR: Pelakon, Diana Danielle mengakui menerima pelbagai resume daripada individu berpengalaman termasuk cef yang pernah berkhidmat di luar negara selepas tular hantaran mengenai pencarian cef peribadi di platform Threads.

Bagaimanapun, Diana berkata, perancangan mendapatkan khidmat cef peribadi itu masih belum dapat diteruskan buat masa ini kerana dia mahu melakukan pengubahsuaian dapur terlebih dahulu.

“Ramai sebenarnya yang menghantar resume, tetapi saya mahu ubah suai dapur terlebih dahulu kerana buat masa ini saya kurang selesa dengan susun atur sedia ada untuk menerima orang masuk dan memasak di rumah.

“Perancangan itu sebenarnya sudah ada sejak tahun lalu, cuma belum sempat dilaksanakan. Mungkin dalam beberapa bulan lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Cobra 7: Peluru Terakhir di Wisma Ali Bawal 2, di Petaling Jaya, kelmarin.

Diana atau nama lengkapnya, Diana Danielle Danny Beeson, berkata keputusan mencari cef peribadi dibuat kerana jadual kerjanya kini semakin padat selain mahu memastikan anak-anak menikmati hidangan seimbang dan bernutrisi. 

“Tahun ini saya memang agak sibuk. Kalau tahun-tahun sebelum ini mungkin saya masih boleh uruskan semuanya sendiri. 

“Sekarang saya hanya melihat kepada keperluan keluarga,” katanya.

Menurut pelakon filem Imaginur itu, dia tidak mencari cef bertaraf hotel, sebaliknya individu yang memahami asas nutrisi dan keperluan pemakanan anak-anak.

“Apa yang saya perlukan sebenarnya seseorang yang memahami asas nutrisi dan boleh menyediakan makanan mengikut cita rasa anak-anak dalam versi lebih sihat,” katanya.

Diana berkata, antara resume diterima termasuk daripada individu yang pernah bekerja di Dubai dan kini mencari peluang pekerjaan di Malaysia.

“Memang ramai yang sangat berpengalaman dan berkaliber.

“Ada yang pernah bekerja di Dubai dan sekarang mencari peluang di sini disebabkan situasi di sana.

“Resume mereka memang hebat-hebat, tetapi saya rasa belum mampu untuk mengambil mereka,” katanya.

Dalam masa sama, Diana mengakui kini lebih banyak memikirkan soal masa depan anak-anak termasuk perancangan pendidikan mereka.

“Saya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa kerana sekarang saya banyak memikirkan masa depan anak-anak termasuk perancangan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Sebab itu saya bekerja keras dari sekarang supaya apabila tiba waktunya nanti, semuanya lebih teratur,” katanya.

Terdahulu, Diana mencuri perhatian netizen apabila berkongsi hantaran di Threads mengenai pencarian cef peribadi untuk menyediakan makanan sihat buat anak-anaknya.

Dalam perkembangan lain, Diana turut membintangi filem Cobra 7: Peluru Terakhir arahan Faisal Ishak bersama barisan pelakon seperti Shaheizy Sam, Zahiril Adzim, Ahirine Ahidrudin, Amar Baharin dan Hanna Aqeela. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here