Home Hiburan ZUL ARIFFIN MOHON MAAF KONGSI VIDEO HISAP ROKOK

ZUL ARIFFIN MOHON MAAF KONGSI VIDEO HISAP ROKOK

27
0

KUALA LUMPUR: Pelakon Zul Ariffin memohon maaf atas tindakan berkongsi video memaparkan dirinya merokok dalam media sosial, baru-baru ini.

Memetik laporan Berita Harian, Zul atau nama penuh, Zulkifli Ariffin sedar klip video itu tidak wajar dikongsi buat tatapan umum.

Sehubungan itu, Zul menerima teguran baik yang diberi segelintir pihak atas perbuatannya itu, selain berjanji tidak mengulanginya.

“Saya ingin mohon maaf kepada semua (pihak) yang tegur selepas melakukan tabiat buruk itu, selama saya menggunakan media sosial.

“Kepada semua yang tegur dengan baik, saya minta maaf termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun pihak itu tidak ada sebut apa-apa. 

“Perkara itu tidak akan berlaku lagi, saya janji,” katanya ditemui pada tayangan perdana dan sidang media filem terbaharu, The Furious: Pertaruhan Maruah di GSC Midvalley Megamall, di sini, malam tadi. 

Baru-baru ini, tindakan Zul memuat naik video sedang merokok menerima pelbagai reaksi netizen termasuk komen

daripada Public Health Malaysia (PHM) yang mengucapkan tahniah kepada pelakon itu kerana mempromosikan tabiat merokok kepada umum.

Bagaimanapun, Zul berkata, dia tidak akan memohon maaf kepada pihak yang meninggalkan komen berbaur sarkastik atau negatif terhadapnya.

“Namun, saya tidak akan memohon maaf kepada individu yang melemparkan komen melampau dan menghina. Saya perlu tegas dalam perkara itu.

“Kalau seseorang meninggalkan komen buruk, itu mencerminkan akhlak mereka sendiri, bukan akhlak saya.

“Jangan terus label saya sebagai sombong atau angkuh. Saya hanya minum kopi dan membalas sindiran secara spontan kepada individu yang memulakan sindiran terhadap saya.

“Saya akui perkara itu satu tabiat buruk dan ia tidak akan berulang lagi. Jadi, tak perlulah sampai menjadi terlalu kecoh… Tenang-tenang sahaja,” katanya.

Mengulas teguran PHM dan komen berbunyi ‘and?’ yang dikongsi sebagai balasan hantaran badan itu, Zul mengakui tidak berniat menyindir PHM.

Zul menjelaskan komen balas ‘and?’ sekadar reaksi spontan terhadap kenyataan yang disifatkannya berbaur sarkastik daripada organisasi terbabit, bukannya kerana dia tidak boleh menerima teguran.

Pelakon berusia 40 itu menegaskan, dirinya tidak pernah berniat mempromosikan budaya merokok atau menggalakkan orang ramai melakukan tabiat berkenaan seperti didakwa PHM.

“Apa yang berlaku ketika itu hanyalah satu tabiat buruk yang saya sendiri tidak pernah galakkan. Saya cuma duduk menikmati angin, minum kopi dan secara spontan minta diambilkan video.

“Kemudian tiba-tiba perkara itu jadi kecoh. Apabila ada yang ucapkan ‘tahniah’, saya faham, ia bersifat sarkastik. Jadi, apabila orang mula dengan nada sindiran, saya balas semula secara sindiran… Jadi, itu yang tular.

“Saya cuma maksudkan, kalau hendak sindir, teruskan sahaja. Saya memang tidak ambil tahu dan tidak aktif di Threads. Tetapi, selepas ‘belek’, hantaran itu dimuat naik sekali di Threads,” katanya.

Zul hairan klip video dia merokok dijadikan isu sedangkan masih banyak adegan merokok dipaparkan dalam filem dan drama.

“Tiba-tiba orang bercakap macam saya buat kesalahan besar… Macam saya curi tabung masjid.

“Begini, filem Tarung: Unforgiven sudah capai kutipan RM15 juta dan saya merokok dalam babaknya. Mana komen? Tidak ucap tahniah pun.

“Dalam filem Libang Libu, Beto Kusyairy letak apa di sini? (sambil tunjuk bahu) Kotak rokok, bukan? Tetapi, tak nampak pun komen daripada pihak itu,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here