Home Sukan ARSENAL BAKAL ANGKAT PIALA DI PALACE AHAD INI

ARSENAL BAKAL ANGKAT PIALA DI PALACE AHAD INI

29
0

LONDON: Arsenal menamatkan penantian 22 tahun untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas pasukan di tangga kedua, Manchester City seri 1-1 di Bournemouth, awal pagi tadi.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, mendahului carta hampir sepanjang musim, skuad kendalian Mikel Arteta kini berada empat mata di depan dengan satu perlawanan berbaki dan aksi menentang Crystal Palace pada Ahad kini bakal menjadi majlis penobatan juara.

Arsenal menewaskan Burnley 1-0, semalam, sekali gus memaksa City meraih kemenangan di pantai selatan England untuk memanjangkan perebutan gelaran hingga hari terakhir musim.

Namun City ketinggalan hasil jaringan babak pertama Eli Junior Kroupi dan gol penyamaan lewat masa kecederaan oleh Erling Haaland hadir terlalu lambat buat pasukan pelawat, yang dilaporkan bakal mengucapkan selamat tinggal kepada pengurus, Pep Guardiola pada penghujung musim ini selepas sedekad penuh gemilang.

Arsenal sebelum ini sering dilabel sebagai hampir berjaya di bawah Arteta selepas menamatkan saingan sebagai naib juara dalam tiga musim terdahulu.

Namun mereka akhirnya berjaya menamatkan penantian dengan menghadiahkan gelaran liga England ke-14 buat kelab itu, di belakang hanya Manchester United dan Liverpool yang berkongsi rekod 20 kejuaraan.

Ia adalah gelaran pertama Arsenal sejak musim 2003-04 apabila skuad kendalian Arsene Wenger menamatkan musim tanpa kalah, selain trofi utama pertama sejak menjuarai Piala FA pada 2020 dalam musim pertama Arteta selepas mengambil alih tugas daripada Unai Emery.

Kempen hebat Arsenal musim ini mungkin menjadi lebih manis apabila mereka bakal menentang Paris Saint-Germain di final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Budapest pada 30 Mei ini, dalam usaha memburu trofi itu buat kali pertama.

Jika berjaya, pasukan Arteta akan dikenang sebagai antara yang terbaik dalam sejarah 140 tahun kelab.

Kejayaan Arsenal mencetuskan sambutan besar-besaran di utara London malah hingga ke 10 Downing Street apabila Perdana Menteri Britain yang juga penyokong tegar Arsenal, Keir Starmer, menulis di X: “22 tahun yang panjang buat Arsenal. Tetapi akhirnya kami kembali ke tempat yang sepatutnya.”

Arteta, yang pada usia 44 tahun menjadi pengurus Arsenal termuda memenangi kejuaraan liga utama England berkata sehari sebelum ini, beliau akan menjadi penyokong terbesar Bournemouth selama beberapa jam pada Selasa.

Secara kebetulan, gelaran itu hadir dengan bantuan rakan karibnya, Andoni Iraola apabila Bournemouth kendaliannya berjaya mengikat City.

Beberapa minit selepas wisel penamat di Bournemouth, ribuan penyokong Arsenal mula berkumpul, ramai membawa suar merah.

Skuad utama dan barisan kejurulatihan Arsenal turut berkumpul di pusat latihan kelab di utara London, dengan video sambutan liar dimuat naik sejurus wisel penamat di Bournemouth mengesahkan gelaran menjadi milik mereka.

Walaupun mereka dipintas City pada April selepas 200 hari mendahului liga, keyakinan Arsenal tidak pernah goyah dan kini mereka akhirnya dapat menikmati kejayaan selepas perebutan kejuaraan yang mendebarkan. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here