Home Sukan NEYMAR KEMBALI DALAM SKUAD BRAZIL UNTUK PIALA DUNIA KEEMPAT

NEYMAR KEMBALI DALAM SKUAD BRAZIL UNTUK PIALA DUNIA KEEMPAT

21
0

RIO DE JANEIRO: Bintang sensasi, Neymar menerima panggilan semula dramatik ke skuad Piala Dunia Brazil pada hari ini, sekali gus kembali menyertai pasukan kebangsaan selepas hampir tiga tahun tidak beraksi.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, kemasukan Neymar, penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol dalam 128 penampilan, menjadi kejutan terbesar dalam skuad 26 pemain yang diumumkan ketua jurulatih, Carlo Ancelotti.

Ancelotti mengumumkan pemilihan Neymar dalam satu majlis gala di Rio de Janeiro dengan sorakan gemuruh bergema sebaik penggempur veteran itu disahkan kembali dipanggil.

Spekulasi sudah berlarutan sejak beberapa bulan mengenai sama ada bekas penyerang Barcelona dan Paris Saint-Germain berusia 34 tahun itu mampu kembali menembusi skuad kebangsaan.

Penyerang yang beraksi dalam Piala Dunia 2014, 2018 dan 2022 itu tidak pernah bermain untuk Brazil sejak mengalami kecederaan lutut ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay pada 2023.

Gabungan masalah kecederaan dan prestasi tidak menentu menyebabkan beliau tersisih daripada skuad kebangsaan, malah Ancelotti sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai tahap kecergasannya apabila tidak menyenaraikannya untuk aksi persahabatan menentang Perancis dan Croatia pada Mac lalu.

Namun Neymar, yang kembali menyertai kelab zaman kanak-kanaknya, Santos FC pada Januari selepas tempoh suram dibelenggu kecederaan di Arab Saudi, kini mendapat kepercayaan Ancelotti untuk menghadapi Piala Dunia di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

“Kami memantau Neymar sepanjang tahun dan mendapati sejak kebelakangan ini dia bermain secara konsisten selain tahap fizikalnya semakin baik,” kata Ancelotti.

“Kami percaya dia pemain penting.”

Kecederaan mengehadkan Neymar kepada hanya 15 penampilan daripada 31 perlawanan sejak kembali ke Santos pada 2026.

Brazil yang memburu gelaran Piala Dunia keenam, akan memulakan kempen menentang Maghribi pada 13 Jun sebelum berdepan Haiti dan Scotland dalam Kumpulan C.

Neymar akan mengetuai barisan serangan mantap yang turut dibarisi penyerang Barcelona, Raphinha dan bintang Real Madrid, Vinicius Junior.

Ancelotti percaya Piala Dunia akan dimenangi oleh pasukan paling kental.

“Piala Dunia tidak akan dimenangi oleh pasukan sempurna kerana pasukan sempurna tidak wujud,” katanya.

“Ia akan dimenangi oleh pasukan yang paling berdaya tahan.” – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here