PUCHONG: Vokalis Drama Band, Aepul Roza, optimis Konsert Trilogi yang bakal dipentaskan di Astana Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pada 18 Julai depan, bakal menjadi platform terbaik buat dua sahabatnya, Fiq Halim dan Aweera kembali membuktikan kualiti vokal mereka di pentas besar.
Memetik laporan Berita Harian, Aepul berkata, keyakinan untuk menganjurkan konsert itu lahir daripada kepercayaan tinggi terhadap bakat luar biasa dua penyanyi itu yang disifatkan mempunyai kualiti vokal yang lebih baik berbanding dirinya.
Menurut Aepul, niat untuk menyatukan mereka dalam satu siri konsert sudah lama dirancang, namun hanya dapat direalisasikan selepas melihat maklum balas luar biasa peminat pada Konsert Drama 15 Tahun, Januari lalu.
“Ketika itu, penonton menyanyi lebih kuat daripada Fiq ketika membawa lagu Tiga Malam Tanpa Bintang.
“Perkara itu sangat mengejutkan Fiq sehingga dia terdiam kerana tidak sangka ramai ramai yang mengingatinya,” katanya pada sidang media Konsert Trilogi di sini, baru-baru ini.
Jelas Aepul lagi, kehadirannya dalam projek itu bukan sekadar sebagai penganjur, sebaliknya, dia mahu mengingatkan Fiq dan Aweera bahawa kredibiliti sebagai penyanyi rock masih ampuh.
“Mungkin mereka sudah terlupa kredibiliti yang ada. Jadi, saya hadir untuk mengingatkan yang konsert ini dianjur supaya dapat dibuktikan bahawa kredibiliti dan kualiti mereka masih ada,” katanya lagi.
Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi Fiq sebelum ini, Aepul menyedari rakannya itu kehilangan arah selepas tidak lagi bernaung di bawah syarikat rakaman yang besar seperti awal kemunculannya.
Ini berbeza dengan latar belakangnya yang bermula secara ‘indie’ dan biasa melakukan semua perkara sendiri.
“Saya nampak sebagai kawan, Fiq mungkin hilang arah apabila tiada sistem sokongan.
“Dia bukan tidak cuba untuk bangkit, tetapi, kesinambungan itu agak sukar ditemui tanpa bantuan pihak di belakang tabir,” katanya.
Aepul turut menyuntik semangat buat rakannya itu dengan meyakinkan bahawa kualiti nyanyian Fiq masih sama dan tidak pernah berganjak meskipun industri muzik dibanjiri dengan ramai bakat baharu.
“Saya cakap abaikan apa yang orang pandang. Dia masih hebat dan cuma perlukan tempat untuk tunjukkan semula kualiti itu. Saya mahu dia datang kembali dan menjadi Fiq yang asal semula,” katanya.
Aepul memberitahu dia sedang memujuk Fiq untuk meninggalkan Sabah dan kembali menetap di Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan kerjaya seni yang dilihat kembali bernyawa.
Malah, Aepul mempunyai perancangan besar untuk melamar Fiq sebagai artis pertama di bawah syarikat rakaman miliknya, Aepul Roza Production.
Selain konsert, projek itu juga akan disusuli dengan penerbitan album mini yang mengandungi lima lagu, termasuk single trio dan single solo setiap seorang.
Konsert Trilogi bersama Fiq Halim dan Aweera bakal dipentaskan di Big Pillars Hall, Astana Putra, UPM, dengan kapasiti terhad 1,000 penonton. – BH Online –
IMedikel TV






