KUALA LUMPUR: Keberanian mencabar diri ke tahap luar biasa menjadi antara faktor utama stesen radio Hot FM menjayakan misi siaran langsung dari puncak bangunan kedua tertinggi dunia, Merdeka 118 menerusi kempen #BekpesHotTaklukMerdeka118, hari ini.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran berkata, misi itu bukan sekadar mahu bersiaran dari aras tertinggi bangunan ikonik negara itu, sebaliknya sebagai simbol keberanian dan kesungguhan stesen radio terbabit untuk terus mencipta sesuatu di luar kebiasaan.
Menurutnya, idea untuk menawan bahagian ‘spire’ atau ‘needle’ di bangunan berkenaan tercetus selepas Hot FM berjaya melaksanakan beberapa cabaran ekstrem termasuk siaran di Gunung Kinabalu dan siaran di bawah laut.
“Kita tengok Merdeka 118 ini sebagai satu cabaran baharu. Ramai tahu ia bangunan tertinggi di Malaysia, jadi kami fikir apakah cabaran seterusnya yang boleh dilakukan sebagai sebuah stesen radio.
“Kalau sebelum ini kita pernah buat macam-macam misi ekstrem, kali ini kita mahu cabar diri untuk naik sampai ke spire. Setakat ini belum ada yang melakukannya secara rasmi,” katanya ketika ditemui pada kempen #BekpesHotTaklukMerdeka118, di sini.
Menurut Nazri, proses mendapatkan kebenaran daripada pihak PNB Merdeka Ventures mengambil masa hampir setahun sebelum akhirnya mendapat lampu hijau.
Katanya, pihak pengurusan Merdeka 118 turut melihat misi itu sebagai peluang memperkenalkan bangunan ikonik berkenaan kepada masyarakat sebelum ia dibuka lebih meluas kepada umum.
“Hampir setahun juga prosesnya, berulang-alik berbincang, tapi lewat tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Ir Ts Izwan Hasli Mohd Ibrahim sendiri bertemu dengan kami.
“Memang (mereka) mahukan sesuatu seperti ini sempena pembukaan bangunan ini kepada orang ramai,” katanya.
Dalam masa sama, faktor cuaca menjadi cabaran utama sepanjang perancangan misi berkenaan memandangkan bahagian spire terdedah kepada risiko ribut dan sambaran petir.
Nazri berkata, pihak pengurusan bangunan sudah memaklumkan lebih awal bahawa sebarang keadaan cuaca buruk boleh menyebabkan misi itu dibatalkan atas faktor keselamatan.
“Kalau cuaca tak baik memang kita tak boleh naik. Itu antara cabaran terbesar sebab beberapa hari sebelum ini memang hujan ribut dan petir.
“Alhamdulillah hari ini cuaca okay. Kalau ada angin pun masih terkawal,” katanya.
Selain faktor keselamatan, katanya, kestabilan talian siaran langsung juga menjadi kebimbangan utama kerana siaran dilakukan pada ketinggian lebih 500 meter dari aras tanah.
“Kita nak buat siaran langsung, jadi line kena stabil. Walaupun berada di tempat tinggi, bukan bermaksud liputan talian itu semestinya bagus,” katanya.
Menurutnya, misi itu juga secara tidak langsung mengubah gaya hidup barisan penyampai Bekpes Hot yang kini semakin aktif menyertai pelbagai aktiviti kecergasan dan sukan lasak.
Katanya, penyampai seperti Johan kini aktif bermain bola sepak dan pickleball, manakala Fara Fauzana mula menyertai maraton dan AG pula menyertai pertandingan Powerman, tahun ini.
“Saya rasa itu benda yang baik sebab kita nak tunjuk kepada rakyat Malaysia perlu mencabar diri sendiri dan aktif dengan sukan serta aktiviti lasak,” katanya.
Terdahulu, Hot FM menerusi kenyataan media memaklumkan kempen #BekpesHotTaklukMerdeka118 menjadi antara pencapaian terbesar stesen radio itu apabila bersiaran secara langsung di aras tertinggi Merdeka 118 bermula dari Level 118 ke Level 119, seterusnya menuju ke The Spire pada ketinggiannya 566 meter dari aras tanah.
Misi itu disertai barisan penyampai Bekpes Hot iaitu Khairy Jamaluddin, Johan, Fara Fauzana dan AG.
Dalam kenyataan sama, Hot FM turut menyasarkan pengiktirafan Asia Records dan ASEAN Records menerusi kategori “Highest Continuous Live Radio Broadcast from the World’s Second Tallest Building”. – HMetro Online –
IMedikel TV






