Home Luar Negara 8 MAUT, LEBIH 30 CEDERA, BAS TERBAKAR DIREMPUH KERETA API KARGO

8 MAUT, LEBIH 30 CEDERA, BAS TERBAKAR DIREMPUH KERETA API KARGO

28
0

BANGKOK: Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro perlanggaran antara kereta api kargo dan sebuah bas mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang serta mencederakan lebih 30 individu lain, di sini, pada Sabtu, menurut polis.

Anggota bomba dan pasukan penyelamat mengepung lokasi kejadian, manakala penyiasat dilihat memeriksa rangka bas yang hangus terbakar.

Orang ramai diarahkan menjauhi persimpangan sibuk di pusat bandar itu yang digunakan puluhan ribu kenderaan setiap hari.

Ketua Polis Bangkok, Urumporn Koodejsumrit berkata kepada AFP, lapan orang maut dan 35 lagi mangsa cedera dengan dua daripadanya mengalami kecederaan serius.

Kemalangan itu berlaku awal petang dengan imej di media sosial menunjukkan kereta api terbabit menghampiri lintasan kereta api pada kelajuan sederhana sebelum merempuh bas berkenaan yang serta-merta terbakar.

“Kebakaran kini sudah dipadamkan dan kami sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa,” kata Urumporn. Api dilihat merebak dengan cepat.

“Saya tidak berani menoleh ke belakang untuk melihat sama ada terdapat mangsa,” kata seorang saksi yang berada berhampiran persimpangan itu bersama anak perempuannya kepada penyiar awam Thai PBS.

Seorang lagi saksi yang tidak dikenali memberitahu Royal Thai Police TV bahawa keretanya berada di lintasan kereta api ketika kejadian.

“Saya masih terkejut. Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dan sesuatu melanggar kereta saya hingga menolaknya.

“Kemudian saya melihat bas itu tersangkut pada kereta api dan api marak di mana-mana. Saya sangat ketakutan,” katanya.

Perdana Menteri Thailand, Anuton Charnviralulb mengarahkan siasatan dijalankan terhadap insiden itu, menurut kenyataan pejabat beliau.

Kemalangan maut membabitkan pengangkutan sering berlaku di Thailand yang kerap tersenarai antara negara dengan jalan raya paling berbahaya di dunia.

Faktor seperti memandu laju, pemanduan mabuk dan penguatkuasaan undang-undang yang lemah dilihat menyumbang kepada masalah itu.

Kejadian kren runtuh ke atas sebuah kereta api penumpang mengorbankan 32 orang dan mencederakan puluhan yang lain di timur laut Thailand pada Januari lalu.

Pada 2020, perlanggaran antara kereta api kargo dan sebuah bas yang membawa penumpang ke upacara keagamaan mengorbankan 18 orang.

Tiga tahun kemudian, lapan orang maut dalam perlanggaran antara kereta api kargo dan sebuah pikap yang melintasi landasan kereta api di timur negara itu. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here