Home Sukan FINAL PIALA MALAYSIA LEBIH ‘HIDUP’ DENGAN PENGADIL LUAR

FINAL PIALA MALAYSIA LEBIH ‘HIDUP’ DENGAN PENGADIL LUAR

38
0

KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membawa masuk pengadil luar negara bagi aksi final Piala Malaysia 2025/2026 disifatkan sebagai satu suntikan baharu yang mampu menaikkan lagi aura perlawanan berprestij itu.

Langkah itu hadir ketika pentas final bakal menemukan Kuching City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei ini, sekali gus menjanjikan tumpuan besar peminat bola sepak tanah air.

Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan kehadiran pengadil antarabangsa sebagai elemen yang boleh memberi rasa berbeza kepada final berkenaan, lebih-lebih lagi dalam perlawanan berprofil tinggi.

Beliau berkata pengalaman seperti itu bukan perkara baharu buat dirinya kerana pernah merasai situasi sama ketika mengemudi Kedah dalam final Piala FA 2019 menentang Perak yang ketika itu dikendalikan pengadil dari Jepun.

“Bagi saya, ia satu perkara yang bagus sebab saya sendiri pernah lalui final 2019. Memang suasana lain daripada lain bila ada pengadil luar negara di pentas final, ia beri sesuatu yang lebih segar dan berbeza.

“Bezanya ketika itu Kedah sudah ada reputasi besar, pernah ke final dan ada pengalaman menang trofi. Kali ini saya bawa Kuching City yang pertama kali ke final, ini sejarah baru untuk kelab,” katanya.

Dalam masa sama, Aidil tidak melihat keputusan itu sebagai merendahkan pengadil tempatan, sebaliknya menganggap ia sebagai proses perkembangan positif dalam kancah bola sepak negara.

“Saya teruja dengan penglibatan pengadil luar negara untuk final ini tapi itu tidak bermakna pengadil tempatan kita tidak bagus.

“Ramai juga yang sudah buat tugas dengan baik dan sejak 2019, saya nampak sendiri peningkatan pengadil tempatan saban musim.

“Malah ada pengadil Malaysia seperti Razlan Joffri dan Nazmi Nasaruddin yang pernah mengendalikan perlawanan liga di Indonesia, itu perkembangan yang sangat bagus,” katanya.

Tambahnya lagi, kehadiran pengadil luar sekurang-kurangnya memberi nilai tambah dari sudut pengalaman kepada pemain, penyokong dan kedua-dua finalis yang akan beraksi di pentas terbesar itu. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here