KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian hasrat beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk melangkah ke final Terbuka Thailand tidak kesampaian apabila terkandas di separuh akhir di tangan pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, hari ini.
Pasangan nombor sembilan dunia itu terpaksa akur tewas kepada pilihan pertama kejohanan berkenaan dalam pertarungan tiga set 21-19, 20-22, 16-21 pada aksi di Stadium Nimibutr yang berlangsung selama 80 minit.
Sze Fei-Izzuddin memulakan aksi dengan cukup meyakinkan apabila menguasai permainan untuk memenangi set pertama 21-19.
Bagaimanapun, momentum mereka sedikit terganggu pada set kedua apabila beberapa kali ketinggalan sebelum bangkit menyamakan kedudukan, namun gagal memanfaatkan peluang untuk menamatkan permainan apabila tewas tipis 20-22.
Memasuki set penentuan, pasangan nombor empat dunia dari India itu tampil lebih agresif dan mendominasi permainan meskipun Sze Fei-Izzuddin cuba merapatkan jurang mata sebelum lawan menoktahkan kemenangan 21-10.
Keputusan itu menyaksikan Rankireddy-Shetty terus memperkukuhkan rekod pertemuan kepada 8-2 ke atas wakil negara.
Sze Fei-Izzuddin hadir ke Bangkok dengan misi memburu gelaran kedua musim ini selepas menjuarai Masters Indonesia pada Januari lalu.
Bekas naib juara Asia itu selepas ini akan mengalihkan tumpuan ke saingan Masters Malaysia yang membuka tirai Selasa ini.
Mereka dijadual memulakan kempen menentang pasangan Indonesia, Muh Putra Erwiansyah-Bagas Maulana di pusingan pertama. – BH Online –
IMedikel TV






