TEHRAN: Iran mengadakan majlis pelepasan rasmi untuk skuad bola sepak kebangsaan mereka sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia Fifa 2026 yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, majlis yang berlangsung di atas pentas di Dataran Enghelab, semalam menyaksikan barisan pemain berpakaian sukan berwarna merah dan hitam mendapat sambutan meriah daripada penyokong, menurut video yang disiarkan televisyen negara.
Jurulatih Amir Ghalenoei dan Presiden Persekutuan Bolasepak Iran, Mehdi Taj turut hadir.
“Pemain pasukan kebangsaan di Piala Dunia akan mewakili rakyat, pejuang negara, pemimpin (ketua tertinggi Mojtaba Khamenei) dan negara,” kata Taj.
“Pasukan kebangsaan kita ialah pasukan bola sepak dalam keadaan perang,” katanya sambil menambah bahawa pasukan itu akan menjadi ‘tiang kekuatan dan ketahanan’.
Orang ramai di majlis itu melambai bendera dan melaungkan sorakan serta slogan sambil memegang plakad dan gambar pemimpin tertinggi terdahulu, Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan AS-Israel yang mencetuskan perang di Timur Tengah.
“Untuk darah para syuhada, nyanyikan lagu kebangsaan dengan penuh tegas dan tanpa ragu,” tulis salah satu plakad.
Iran yang akan berpangkalan di Tucson, Arizona sepanjang Piala Dunia, berada dalam Kumpulan G bersama New Zealand, Belgium dan Mesir.
Mereka akan membuka kempen Piala Dunia menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






