BARCELONA, SEPANYOL: Beberapa jam selepas kematian bapanya, jurulatih Barcelona, Hansi Flick tetap memimpin gergasi Catalan itu menjuarai La Liga buat musim kedua berturut-turut selepas kemenangan El Clasico ke atas Real Madrid, awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pasukan kendalian Flick menang 2-0 ke atas Los Blancos dan jurulatih dari Jerman itu berkata beliau amat berterima kasih kepada pemain atas sokongan dan komitmen mereka.
“Saya bangga. Saya pasti tidak akan melupakan hari ini. Tidak akan pernah. Saya gembira dengan (kejayaan) ini dan suasana di stadium ini sangat luar biasa,” kata Flick kepada wartawan.
Pengendali itu mendedahkan ibunya menghubunginya pada waktu pagi untuk memberitahu bapanya telah meninggal dunia.
“Pagi ini, ibu saya menelefon dan memberitahu ayah saya telah meninggal dunia. Jadi saya fikir sama ada saya perlu sembunyikan atau saya perlu beritahu pasukan saya? Kerana bagi saya, mereka seperti sebuah keluarga,” jelas Flick.
“Dan saya kata, baiklah, saya mahu maklumkan kepada pemain. Dan apa yang mereka lakukan selepas itu luar biasa. Saya tidak akan lupa detik ini.”
“Saya sangat gembira dan sangat bangga dengan semua orang. Setiap pemain dalam pasukan. Staf saya juga, dan kelab ini.”
Flick, yang dilambung ke udara oleh pemainnya ketika meraikan kemenangan di wisel penamat, berkata beliau “tidak pernah” merasai kasih sayang sedalam itu di dalam sebuah stadium seperti pada hari tersebut.
Jurulatih itu berkata pasukannya masih memburu rekod 100 mata dalam satu musim La Liga dalam tiga perlawanan terakhir mereka, dan sasaran besar musim depan adalah menamatkan penantian 11 tahun untuk memenangi Liga Juara-Juara.
Media Sepanyol melaporkan Flick dijangka melanjutkan kontraknya yang tamat pada 2027, dengan tambahan satu tahun lagi.
“Saya rasa saya berada di tempat yang betul, pada masa tepat, dan saya fikir kami semua mahu teruskan, serta mahu memberi lebih lagi untuk kelab ini,” tambah Flick.
“Saya tahu semua orang di sini dan juga di Barcelona mahu memenangi Liga Juara-Juara. Kami akan cuba lagi musim depan, dan harapnya kami dapat capai matlamat itu.”-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






