Home Hiburan MASUK TIDAK ‘GANTI ORANG’ BUAT HANIFF HAMZAH SERONOK SERTAI HOT FM

MASUK TIDAK ‘GANTI ORANG’ BUAT HANIFF HAMZAH SERONOK SERTAI HOT FM

67
0

KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro penyampai radio, Haniff Hamzah, 42, memaklumkan dia tidak berfikir terlalu lama dan sangat mudah baginya untuk membuat keputusan apabila dilamar menyertai Hot FM.

Haniff mula bertugas di Hot FM sejak 4 Mei lalu bersama Fizi Ali untuk segmen petang, Hot Vibe Club berkata dia sangat memahami tanggungjawab digalasnya bagi menarik lebih ramai pendengar.

“Sangat mudahlah bila orang kata dijemput masuk Hot FM ini. Ia bukan ada paksaan, bukan ada perbincangan pun. Sekadar borak, kita persetujui dengan apa yang perlu dipersetujui dan tandatangan kontrak sebab saya tahu apa tugas saya.

“Maksudnya, macam saya di bawah Fly FM dulu pun diutamakan adalah membawa orang baru (pendengar) yang tidak pernah dengar pun nama Fly FM ini untuk menarik perhatian mereka melalui saya, orang mula dengar Fly.

“Benda yang sama saya akan buat untuk Hot Vibe Club. Maksudnya kita akan cari kelainan dan kita buat sesuatu yang mengejut. Ini saya fikir adalah kelebihan saya. Idea-idea yang agak mengejut, idea yang membuka mata pendengar dan idea akan memberi impak positif.

“Sebab itulah bila ada kebebasan untuk saya dan Fizi berbincang mengenai idea-idea saya yang biasanya berbeza. Melalui kebebasan diberi itu dan dipersetujui untuk berkarya, sudah tentu saya terima,” katanya kepada Harian Metro.

Tidak hanya itu, Haniff juga memberitahu peluang daripada Hot FM juga adalah kali pertama diperolehnya tanpa menyertai kerana menggantikan penyampai lain yang bersara atau mengundur diri kerana kontrak ditamatkan.

“Kemasukan saya di Hot FM ini yang ada satu benda saya perasan ialah jarang berlaku, begini sebagai penyampai radio sudah bergerak di beberapa stesen sebenarnya ada rasa kesedihan apabila masuk ke tempat lain atau syif kerja yang baru.

“Biasanya itu bermaksud ada orang akan ditendang keluar ataupun ada orang akan bersara, itu satu kesedihan. Maksudnya kita dibawa masuk sebab ‘ganti orang’. Sebab, kita kadang-kadang tidak tahu kenapa kita kena ganti itu.

“Sama ada orang itu kena buang ke atau memang sudah tamat masa dia (berhenti atau bersara), tetapi ada perasaan sedih itu. Namun, kali ini apabila saya masuk ke Hot Vibe Club, mereka sebut saya bersama Fizi dan waktu itu saya memang tahu dia (Fizi) berseorangan.

“Jadi ada rasa lega sedikit. Macam itu juga perasaan yang saya rasa ketika masuk Fly FM dulu, sebab saya tahu siapa yang ke udara di segmen pagi itu. Maksudnya, saya menggantikan tempat orang.

“Tetapi untuk tawaran Hot FM ini tidak ada (perlu ganti orang). Memang ada kekosongan dan mereka mencari. Jadi, ngam untuk saya masuk dan sangat-sangat seronok perasaan itu,” katanya.

Jelas Haniff mengimbau kenangan lalu, contoh satu kesedihan pernah dirasakannya dulu ketika menyertai satu stesen radio lain bersama Datuk Aznil Nawawi pada 2010 ialah sebab ada penyampai radio meninggal dunia.

Katanya, ketika dia mula menyertai stesen itu pun sudah berasa sangat sedih kerana sebelum itu dia masih bertugas di satu lagi stesen radio lain yang agak kecil serta kurang dikenali pendengar.

Berpengalaman bertugas di konti radio selama 18 tahun sejak 2008, Haniff pernah bertugas di stesen radio berbahasa Inggeris, Fly FM sejak 5 Ogos 2024 dan bertahan sehingga 20 bulan sebelum membuat keputusan mengundur diri pada April lalu.

Pembabitan kerjaya Haniff dalam penyiaran radio bermula dengan stesen XFresh FM atau XFM pada 2008 sehingga Mei 2010, diikuti Era pada Jun 2010 hingga 2 Julai 2024 sebelum dia menyertai Media Prima Audio (MPA). – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here