SHAH ALAM: Memetik laporan menerusi Berita Harian, penyanyi, Nubhan, berharap prosiding kes komital membabitkan dakwaan pelanggaran perintah mahkamah yang difailkan terhadap bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, berjalan lancar hari ini.
Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, berkata, beliau memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kes berkenaan sehingga prosiding selesai.
“Hari ini membabitkan kes komital berhubung pelanggaran perintah mahkamah.
“Segala butiran lanjut akan dikongsikan selepas perbicaraan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pagi tadi.
Nubhan yang mengenakan sut hitam lengkap bersongkok tiba di mahkamah kira-kira jam 9.19 pagi dengan ditemani peguamnya, Mohd Redzuan Ramli.
Sementara itu, Dr Afifah memberitahu pemberita, dia tidak pasti mengapa perlu melalui prosiding di mahkamah, hari ini.
“Saya tak tahu kenapa Nubhan buat saya macam ini,” katanya.
Afifah yang tiba kira-kira jam 9.35 pagi, memberitahu dia tidak boleh mengulas mengenai kes pelanggaran perintah mahkamah difailkan Nubhan berikutan lewat sampai.
“Saya pun tak tahu kenapa kena lalui proses mahkamah ini. Nanti saya datang balik sebab saya sangat-sangat lambat.
“Insya-Allah, saya ikut sahaja proses mahkamah cara betul, moga ada keadilan dan doa yang baik-baik untuk saya,” katanya berjubah rona merah jambu.
Sebelum ini, Nubhan selaku plaintif memfailkan komital terhadap Afifah atas dakwaan pelanggaran perintah mahkamah.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aaffan, 7, dan Afzan Nayille, 4.
Pasangan itu bagaimanapun sah bercerai dengan talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 2 Disember 2025. – BH Online –
IMedikel TV






