Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang pendaki wanita ditemui maut dipercayai akibat tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai ketika mendaki gunung bersama sekumpulan pendaki pada 1 Mei lalu.
Kejadian dipercayai berlaku pada hari kedua pendakian apabila mangsa tergelincir dan jatuh ke dalam Sungai Betis kira-kira jam 7.30 malam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa merupakan salah seorang daripada 11 pendaki yang menjalankan aktiviti pendakian di kawasan Gunung Gerah, Gunung Bilah dan Gunung Biyed di Pos Balar, di sini.
“Usaha pencarian segera dilakukan oleh ahli kumpulan mangsa, namun gagal menemuinya pada malam kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut beliau, susulan kejadian itu, pihak polis menyelaras operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Pada hari Ahad kira-kira jam 8 pagi, mangsa ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.
“Pasukan penyelamat kemudian berjaya mengeluarkan mayat mangsa,” katanya.
Beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda selama empat jam sebelum disusuli dengan perjalanan berjalan kaki hampir 10 jam ke lokasi kejadian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Mangsa adalah seorang ibu tunggal, dari Kuala Lumpur.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, membuat perancangan rapi serta menggunakan khidmat pemandu arah berpengalaman ketika menjalankan aktiviti pendakian, khususnya di kawasan pedalaman yang tiada liputan komunikasi,” katanya.
Imedikel TV






