LONDON: Kepulangan Bukayo Saka daripada kecederaan menyuntik semula jentera serangan Arsenal tepat pada masanya ketika The Gunners mengintai peluang meraih kejuaraan berganda Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Saka meledak satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan buat Viktor Gyokeres ketika pasukan kendalian Mikel Arteta menang 3-0 ke atas Fulham kelmarin, sekali gus menamatkan kemarau jaringan tiga gol dalam satu perlawanan selepas 16 aksi.
Ketiga-tiga gol itu hadir sebelum Saka dikeluarkan pada separuh masa oleh Arteta bagi mengelakkan risiko ke atas pemain sayap England itu yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan tumit.
Arteta jelas sudah mula memberi tumpuan kepada pertembungan kedua separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid awal pagi Rabu ini, dengan Arsenal memburu slot ke final kedua dalam sejarah kelab.
Perlawanan itu terikat 1-1 selepas aksi pertama yang dipenuhi kontroversi penalti di Sepanyol, apabila kedua-dua pasukan menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.
Arsenal turut berasakan mereka sepatutnya diberikan satu lagi penalti apabila Eberechi Eze dijatuhkan dalam kotak penalti, dengan Saka turut terbabit dalam gerakan berkenaan.
Saka baru-baru ini menandatangani kontrak baharu empat tahun yang dilaporkan menjadikannya pemain bergaji tertinggi kelab.
Pemain berusia 24 tahun itu bergelut untuk kembali ke prestasi terbaik selepas kecederaan hamstring serius musim lalu yang menyebabkannya tersisih selama tiga bulan.
Namun Arteta berharap Saka kini kembali segar dari segi fizikal dan mental untuk membantu Arsenal menamatkan penantian panjang kejuaraan.
Kelincahan dan hantaran tepat Saka membuka ruang buat Gyokeres menyudahkan peluang mudah ketika Arsenal membuka jaringan awal menentang Fulham.
Peranan itu kemudian berbalas apabila Saka menyambut hantaran penyerang Sweden itu sebelum merembat masuk gol kedua dengan kemas, gol ke-10nya musim ini yang terjejas akibat kecederaan.
“Dia benar-benar memberi perbezaan. Dua aksi daripadanya menentukan perlawanan dan kami tahu kemampuannya.
“Dia kembali pada tempoh paling penting musim ini dan kini dia segar. Fikiran dia segar, keinginan dia berada di tahap tertinggi dan dia perlukan aksi seperti ini untuk memberi impak kepada pasukan,” kata Arteta.–AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






