Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Karnival Pendidikan Islam Kelantan 2026 memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang biasiswa, laluan kerjaya serta perkembangan pendidikan masa depan.
Karnival selama dua hari bermula semalam itu dianjurkan secara sinergi oleh Kerajaan Negeri bersama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Rektor KIAS, Profesor Dr Mazlan Ibrahim berkata, karnival itu melibatkan kira-kira 4,000 pengunjung terdiri daripada pelajar Tingkatan Empat, Lima dan Enam dari sekolah YIK serta sekolah menengah harian.
“Mereka didedahkan dengan hala tuju pendidikan selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Program ini menjadi platform kepada pelajar untuk merebut peluang melanjutkan pengajian di KIAS serta ke Timur Tengah seperti Mesir dan Tunisia,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Kamaruzaman Mohamad merasmikan majlis itu.
“Penganjuran karnival ini adalah antara usaha memperkukuh pembangunan pendidikan Islam serta melahirkan generasi pelajar berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
“Antara pengisian sepanjang karnival ialah taklimat hala tuju pendidikan selepas SPM, taklimat khas melanjutkan pengajian ke Mesir dan Timur Tengah, khidmat kaunseling, Klinik Al-Fatihah, bengkel Bahasa Arab dan Mandarin serta reruai pameran pelbagai agensi seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK).
“Ia juga memperkukuh kerjasama strategik antara KIAS, YAKIN, YIK serta agensi Kerajaan Negeri dalam usaha memperkasakan pendidikan Islam di negeri ini,” katanya.
IMedikel TV






