KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian tiada slot tambahan buat wakil Malaysia dalam format baharu pertandingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) yang akan diguna pakai pada musim depan.
Perkembangan itu menyaksikan slot buat Malaysia dalam pertandingan kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih kekal dengan satu slot untuk ACLE dan satu slot bagi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Ia bermakna Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menjadi wakil tunggal negara di pentas ACLE, manakala satu slot di ACL2 pula masih menjadi rebutan antara Selangor dan Kuching City yang sedang bersaing hebat untuk gelaran naib juara Liga Super.
Menerusi agihan slot pertandingan itu, Arab Saudi dan Jepun mendapat enam slot iaitu tiga slot terus ke ACLE, dua slot playoff ACLE dan satu slot terus ke ACL2 diikuti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Korea Selatan dengan lima slot (tiga slot terus ACLE, satu playoff ACLE dan satu ACL2).
Qatar dan Thailand pula akan diperuntukkan empat slot (tiga slot terus ACLE dan satu ACL2), manakala Iran dan China masing-masing menerima tiga slot (dua slot terus ACLE dan satu ACL2).
Uzbekistan dan Australia meraih tiga slot termasuk satu slot terus ACLE, satu playoff ACLE dan satu ACL2, sementara Jordan dan Vietnam dengan dua slot iaitu satu slot playoff ACLE dan satu slot ACL2.
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memaklumkan Jawatankuasa Bolasepak Profesional badan induk itu dalam mesyuarat yang dipengerusikan Park Ji Sung, semalam meluluskan pindaan Peraturan Penyertaan Pertandingan Kelab AFC (Edisi 2025) dan Peraturan Pelesenan Kelab AFC (Edisi 2024).
Jawatankuasa berkenaan turut bersetuju untuk menerima pakai Peraturan Penyertaan Pertandingan Kelab AFC (Edisi 2026) dan Peraturan Pelesenan Kelab AFC (Edisi 2026) yang bertujuan meningkatkan standard profesional di seluruh benua.
Peraturan Pelesenan Kelab AFC (Edisi 2024) juga dipinda, termasuk pengenalan tarikh akhir khusus baharu bagi prosedur permohonan luar biasa pelesenan kelab susulan perubahan pengagihan slot berkenaan.
“Pindaan Peraturan Penyertaan (Edisi 2025) yang akan terpakai secara eksklusif untuk musim 2026/27 merangkumi semakan terhadap pengagihan slot bagi Persatuan Ahli (MA) selaras dengan penambahan pasukan dalam ACLE daripada 24 kepada 32 kelab.
“Ia termasuk jumlah maksimum slot yang diperuntukkan kepada setiap MA, serta pengenalan slot baharu untuk naib juara Liga Cabaran AFC bagi memasuki peringkat kelayakan ACL2,” menurut kenyataan AFC.
Selain itu, AFC memaklumkan Peraturan Penyertaan (Edisi 2026) akan terpakai bermula musim 2027/28 dan seterusnya dengan kemas kini termasuk keperluan baharu dalam kriteria kelayakan terutama pelaksanaan wajib sistem video bantuan pengadil (VAR) di liga divisyen tertinggi domestik bagi MA yang menyertai pertandingan ACLE.
Badan induk itu bagaimanapun menjelaskan semua keputusan berkenaan perlu disahkan oleh Jawatankuasa Eksekutif AFC sebelum berkuat kuasa. – BH Online –
IMedikel TV






