Home Buletin Semasa TIADA MANGSA DALAM KEBAKARAN ASRAMA, PELAJAR DILINDUNGI DI PADANG SEKOLAH- PENGETUA

TIADA MANGSA DALAM KEBAKARAN ASRAMA, PELAJAR DILINDUNGI DI PADANG SEKOLAH- PENGETUA

62
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

BACHOK: Kebakaran yang memusnahkan beberapa blok bangunan di Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Darul Ulum Muhammadiah, Kolam, Pak Badol, di sini, berlaku ketika pelajar berada di luar asrama mengikuti aktiviti sekolah, sekali gus tiada kecederaan atau kehilangan nyawa, semalam.

Pengetua sekolah Ahmad Norisham Ab Halim berkata, kejadian itu berlaku ketika pelajar mengikuti aktiviti termasuk solat dan waktu makan.

“Sebaik sahaja kebakaran disedari, semua mereka segera diarahkan berkumpul di padang sekolah sebagai langkah keselamatan.

“Kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku walaupun kebakaran melibatkan beberapa blok asrama, bilik warden, bangunan kelas serta bilik buku teks, bilik peperiksaan, juga pakaian dan barangan pelajar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, buat masa ini, pihak sekolah mengambil keputusan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga Khamis ini sementara perbincangan lanjut dibuat mengenai operasi persekolahan.

Ahmad Norisham berkata, sekolah yang ditubuhkan pada 1990 itu menempatkan seramai 251 pelajar tingkatan satu hingga lima, dengan 112 daripadanya tinggal di asrama yang mula beroperasi sejak 1995.

“Ini adalah satu ujian buat kami semua, namun kami tetap bersyukur kerana tiada kehilangan nyawa walaupun berdepan kerosakan harta benda,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Zameri Mat Nawang yang hadir melawat berkata bantuan akan disalurkan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan memandangkan sekolah itu berada di bawah kategori Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Zameri berkata, pihaknya juga telah menyalurkan bantuan awal kepada sekolah sebelum kejadian dan akan menambah lagi bantuan susulan insiden kebakaran tersebut.

Semalam, Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok Mohd Khairul Fais Ariffin mengesahkan kejadian kebakaran melibatkan tiga blok bangunan jenis kekal dengan keluasan berbeza, masing-masing mengalami kemusnahan dianggarkan 98 peratus, 80 peratus dan 30 peratus, namun tiada mangsa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here